am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Seorang bayi lelaki ditemukan masih hidup di bahu jalan Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau, di sini pagi semalam.
Kejadian itu disedari orang awam sekitar jam 9 pagi selepas terdengar tangisan bayi berkenaan sebelum pergi mendapatkannya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, anggotanya yang bertugas di kaunter aduan di Balai Polis Bukit Selambau menerima panggilan daripada orang awam yang terjumpa bayi lelaki itu dalam keadaan menangis di lokasi kejadian.
Beliau berkata, bayi itu diletakkan tanpa pakaian dan tidak berlapik di atas tanah berbatu.
“Ketika itu, saksi pertama sedang menjemur pakaian di belakang rumah dan terdengar bunyi bayi menangis dengan kuat lalu mencari di kawasan sekitar.
“Saksi menjerit apabila melihat bayi lelaki di bahu jalan dan jiran sekitar mula keluar rumah untuk membantu bawa bayi terbabit ke kawasan lebih selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hanyan berkata, bayi lelaki itu kemudian dibawa oleh pihak hospital ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bayi itu dalam keadaan sihat dan mengalami kecederaan calar biasa di bahagian mata kanan dan bahagian kanan badan.
Hasil siasatan lanjut kemudian berjaya mengesan titisan darah di sekitar tempat kejadian.
Susulan daripada itu katanya, polis menahan seorang remaja lelaki yang juga pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, tangkapan akan dilakukan terhadap seorang wanita berusia 19 tahun yang dipercayai ibu bayi berkenaan yang baru melahirkan anak dan masih dirawat di wad hospital berkenaan.
“Kedua-duanya dipercayai kekasih dan remaja lelaki itu direman dua hari untuk membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd