am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Bayi lelaki ditemukan masih bernyawa di tepi jalan berhampiran Masjid Jamiul Huda, Kampung Api-api, Bukit Rotan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, polis menerima panggilan berhubung penemuan itu pada 9.11 malam daripada orang awam yang menjumpainya.
“Mangsa ditemui di dalam beg plastik dan siasatan awal, bayi itu cukup sifat dengan berat 2.135 kilogram serta berusia kira-kira seminggu.
“Tali pusatnya juga dalam keadaan sempurna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, bayi lelaki itu kini dirawat di Hospital Tanjong Karang dan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Siti Mazliah Azizi (017-6649100).
© New Straits Times Press (M) Bhd