audreymd@nst.com.my
Seberang Perai: “Tidak ada langsung kemaafan. Apa yang berlaku tidak boleh diterima. Ia bukan perbuatan manusia,” kata Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, selepas anak tunggalnya Hayl Haarith Mohd Syafaeez dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Bayi lelaki berusia empat bulan yang dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak di dalam kawasan Hospital Seberang Jaya di sini pada sebelah malam, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi.
“Kami tidak akan sesekali memaafkan individu yang bertanggungjawab atas kematiannya. Dia minta untuk melihat anak selepas kematiannya, kami tidak benarkan.
Sebagai seorang bapa, saya akan mengambil tindakan. Saya akan menuntut keadilan hingga ke penghujungnya supaya keluarga lain tidak mengalami nasib yang sama,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya.
Syafaeez berkata dia menerima berita kematian anaknya daripada isterinya, Ummu Habibah Wahab, 30, sejurus selepas jam 4 pagi tadi dan dia yang juga peniaga, segera ke Pulau Pinang dari Terengganu dan tiba di hospital jam 1 tengah hari.
Tambahnya, dia dan isteri akan membuat panggilan video setiap hari supaya dia dapat melihat anak itu.
“Saya berada di Terengganu manakala isteri saya bekerja sebagai jururawat di Hospital Seberang Jaya. Setiap hari kami akan membuat panggilan video supaya saya dapat melihat bayi kami. Kali terakhir melihatnya adalah adalah sebelum jam 9 malam semalam.
“Saya perasaan sesuatu yang luar biasa ketika buat panggilan video semalam. Hayl Haarith memandang saya lama. Riak wajahnya kelihatan berbeza daripada sebelum ini kerana dia sentiasa ceria.
“Minggu lalu isteri dan anak pulang ke Terengganu. Saya sepatutnya ke sini esok untuk membawa mereka membeli baju persiapan menyambut Aidilfitri, kini ia tidak akan berlaku,” katanya sambil mengesat air mata.
Syafaeez menjelaskan bahawa dia sendiri menguruskan pendaftaran ketika menghantar bayi itu ke pusat jagaan kanak-kanak dan pernah mengunjungi premis berkenaan sebelum ini.
Dia membangkitkan kebimbangan mengenai tenaga kerja di pusat jagaan kanak-kanak berkenaan, dengan mendakwa pekerja sering bertukar dan dia tidak pasti sama ada mereka mempunyai pengalaman mencukupi untuk mengendalikan bayi.
Bayi itu akan dikebumikan pada jam 9 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut, Marang, Terengganu, selepas solat jenazah di Masjid Kampung Kelulut.
Sebelum ini dilaporkan Hayl Haarith meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah pusat jagaan kanak-kanak 24 jam yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya di sini.
Keluarga bayi itu kini menuntut keadilan dan mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat berkenaan menunjukkan unsur penderaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




