Bayi monyet anggap patung orang utan macam ibu

Bayi monyet anggap patung orang utan macam ibu

Tokyo: Kisah Punch, seekor bayi monyet jenis ‘macaque’, memikat perhatian dunia, lapor portal News.com.au.

Punch-kun, seperti yang dipanggil dengan penuh kasih sayang, dilahirkan pada Julai 2025 tetapi ditinggalkan oleh ibunya tidak lama selepas kelahiran.

Penjaga di Zoo Bandar Ichikawa mengambil alih tanggungjawab menyelamatkan dan membesarkannya, memantau pertumbuhannya sambil memperkenalkannya secara beransur-ansur kepada monyet lain.

Apabila dipindahkan ke kawasan kurungan bersama monyet lain, Punch menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan kumpulan itu.

Difahamkan, untuk membantu mengatasi keresahan dan kesepian, penjaga memberikannya anak patung orang utan besar yang kini menjadi teman rapatnya.

Punch memperlakukan mainan itu seperti ibu yang tidak pernah dimilikinya, termasuk tidur, makan dan bermain bersamanya setiap hari.

Dalam pada itu, keterikatan Punch terhadap mainan itu juga mengejutkan kakitangan zoo dan memikat hati orang ramai di Jepun serta seluruh dunia.

Menurut media tempatan, gambar Punch bersama mainannya menjadi tular dan menarik perhatian ramai dalam talian.

Susulan itu juga, barisan panjang terbentuk di zoo kerana penduduk tempatan dan pelancong ingin melihat Punch serta memberi sokongan atau ucapan selamat.

Zoo itu menegaskan, Punch kini secara beransur-ansur memperdalam interaksi dengan monyet lain dalam kumpulannya.

“Punch mengalami pelbagai pengalaman harian seperti digosok, bermain-main dan ditegur, sambil belajar bagaimana untuk hidup dalam kumpulan sebagai seekor monyet,” kata pihak zoo.

Ramai pengunjung berkongsi pengalaman mereka di media sosial, memuji kelucuan Punch tetapi ada juga yang menyuarakan rasa sedih dan kebimbangan terhadap kesejahteraannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top