Bayi perempuan ditemukan masih bertali pusat dalam tandas

Bayi perempuan ditemukan masih bertali pusat dalam tandas

am@hmetro.com.my

Butterworth: Polis meminta orang awam tidak mensensasikan kes penemuan bayi perempuan dalam keadaan masih bertali pusat yang ditemukan di sebuah tandas di rumah kampung dekat kawasan Sungai Dua, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.28 pagi sebelum ke lokasi.

“Hasil pemeriksaan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara dan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang mendapati bayi itu masih hidup dan cukup sifat.

“Bayi yang dijumpai itu kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan disahkan dalam keadaan normal dan sihat sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan susulan.

“Polis menyeru kepada orang ramai tidak mensensasikan kes ini sementara polis masih menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Anuar berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu juga diseru berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Irwan Shah Sumadi di talian 04 – 576 2222 (sambungan 2275) atau menghubungi mana-mana balai terdekat untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top