Bayi sejuk beku: Polis tunggu laporan pihak hospital

Bayi sejuk beku: Polis tunggu laporan pihak hospital

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes jenazah bayi lelaki ‘disimpan’ dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang, Selangor, kerana ibu bapanya tidak menjelaskan bil.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun ia belum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kerana menunggu beberapa dokumen daripada pihak hospital.

“Kita masih menunggu beberapa laporan dan dokumen daripada pihak hospital.

“Ia membabitkan laporan berkaitan kematian bayi terbabit serta rekod penyimpanan mayat bayi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya mengenai dapatan siasatan sama ada wujud salah laku atau sebaliknya, beliau enggan mengulas lanjut kerana pihaknya perlu mendapatkan laporan terlebih dahulu.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seramai 14 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit termasuk ibu bapa bayi, doktor, petugas hospital dan sukarelawan pengurusan jenazah.

Terdahulu, bapa kepada bayi lelaki dinamakan Adham, Safwan Roshdy, 22, membuat laporan polis selepas kecewa dan sedih dengan tindakan hospital ‘menahan’ mayat bayi lelakinya itu selama 16 hari.

Pekerja kilang itu dilaporkan berkata, anaknya yang dilahirkan tidak sempurna tanpa sebelah mata, hidung dan lubang dubur meninggal dunia beberapa minit selepas kelahiran.

Bagaimanapun, dia mendakwa pihak hospital tidak membenarkan dia menuntut jenazah bayinya itu sehingga bil rawatan dijelaskan.

Kejadian tular selepas kumpulan sukarelawan, Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang menguruskan jenazah bertindak memuat naik kisah menyayat hati keluarga terbabit di media sosial Facebook.

tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top