syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas selamat bersalin pada 11 April lalu, penyanyi Indah Ruhaila akhirnya berkongsi mengenai jantina cahaya mata pertamanya, seorang bayi perempuan.
Meskipun belum bersedia mendedahkan nama permata hatinya itu kepada umum, Indah atau nama sebenarnya Indah Ruhaila Hussein, memaklumkan bahawa dia akan mengumumkan perkara itu melalui laman sosial peribadinya tidak lama lagi.
“Saya tidak mengumumkannya lagi di Instagram, tetapi memandangkan kalian (media) sudah menemubual saya, maka saya umumkanlah sekarang. Bayinya adalah seorang perempuan,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita mengenai nama anak, penyanyi yang popular dengan lagu Percayalah ini meminta peminat untuk bersabar kerana dia ingin berkongsi butiran berkenaan mengikut kesesuaian waktunya sendiri.
“Mengenai nama, nanti saya akan umumkan di Instagram. Indah akan beritahu di sana nanti,” katanya.
Berkongsi mengenai rupa paras bayi sulungnya itu, Indah secara berseloroh mengakui wajah anaknya itu lebih mirip kepada suaminya, Ahmad Shariff Ahmad Taufik.
“Wajahnya memang sebiji macam bapa dia. Senyuman dia dan bahagian-bahagian kecil pada wajahnya memang mengikut rupa Shariff,” katanya.
Indah turut berkongsi pengalaman mencabar sepanjang tempoh kehamilan di mana dia terpaksa melalui proses kelahiran secara pembedahan berikutan kedudukan bayi yang songsang.
“Sejak tiga bulan pertama lagi berat saya turun sedikit, jadi bayi tidak boleh berpusing dan kedudukannya songsang. Sebab itu saya perlu dibedah, tetapi syukur semuanya berjalan lancar dan bayi berada dalam keadaan sihat,” katanya.
Mengulas mengenai pengalamannya bergelar ibu pada usia yang agak lewat, Indah mengakui perasaan itu sangat luar biasa dan menyentuh emosi, apatah lagi selepas menunggu selama lapan tahun untuk merasai detik itu.
“Kehidupan sebagai ibu sangat luar biasa dan sebenarnya agak mencabar. Tujuh hari pertama selepas bersalin memang agak memenatkan, tetapi saya menikmati setiap saat itu.
“Apabila melihat wajah anak, perasaan itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” ujarnya.
Indah kini sedang menjalani tempoh berpantang dan mengakui bertuah kerana suaminya banyak membantu dalam menguruskan keperluan harian termasuk memasak dan menjaga bayi mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




