syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jenama pakaian tempatan, Bayu Somerset menyasarkan untuk membuka cawangan di setiap negeri di Malaysia menjelang akhir 2026 bagi memperluaskan capaian pasaran dan memudahkan pelanggan mendapatkan produknya.
Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul berkata, setakat ini jenama itu sudah mempunyai kira-kira 18 cawangan di seluruh negara.
Menurutnya, antara negeri yang masih belum mempunyai cawangan Bayu Somerset ialah di Sabah dan Melaka.
“Kami cuba lebih agresif membuka cawangan bagi memudahkan pelanggan mendapatkan produk kami serta merasai sendiri kualiti fabrik dan fesyen yang ditawarkan.
“Untuk tahun ini, sasarannya adalah untuk meliputi sekurang-kurangnya setiap negeri di Malaysia dan sebenarnya kami sudah hampir mencapainya, namun mahu memastikan sasaran pasaran yang tepat.
“Buat masa ini, Melaka dan Sabah antara negeri yang masih belum mempunyai cawangan, manakala Kuala Lumpur pula antara yang mempunyai jumlah cawangan terbanyak,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, pembukaan cawangan baharu dilakukan secara agresif bagi memudahkan pelanggan melihat dan mencuba sendiri produk yang ditawarkan.
Menurutnya, Bayu Somerset yang bermula sejak 2020 ketika pandemik Covid-19 kini semakin mendapat perhatian ramai hasil pelbagai usaha pemasaran yang dijalankan.
Katanya, antara inisiatif yang dilakukan termasuk kempen pemasaran awal menjelang setiap perayaan menerusi platform digital, media sosial dan pengiklanan di radio serta papan iklan.
“Kami juga menghasilkan jingle jenama yang dinyanyikan oleh penyanyi Aisha Retno yang boleh didengar di cawangan kami serta di radio sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesedaran terhadap jenama.
“Alhamdulillah, kesedaran dan pengenalan Bayu Somerset kepada orang ramai semakin meningkat hasil usaha pemasaran yang dijalankan.
“Kami juga cuba menumpukan kepada setiap musim perayaan atau sambutan di Malaysia seperti Aidilfitri, Merdeka, Deepavali atau Tahun Baharu Cina di mana pada waktu itu kami akan mempelbagaikan rekaan,” katanya.
Katanya, Bayu Somerset mengekalkan identiti rekaan berwarna-warni dan ceria dengan corak floral, namun masih mengekalkan siluet tradisional seperti baju kurung Kedah, kebarung dan kebaya.
“Setakat ini, kami menerima maklum balas bahawa jika pelanggan melihat sahaja rekaan itu, mereka sudah tahu ia adalah Bayu Somerset yang menampilkan identiti berwarna-warni dan ceria.
“Selain mengekalkan gaya tradisional, kami juga akan cuba memodenkan sedikit rekaan baju,” katanya.
Menurutnya, produk Bayu Somerset juga ditawarkan pada harga berpatutan dengan baju kurung Kedah bermula serendah RM99, manakala pakaian kanak-kanak bermula RM79.
Katanya, bagi koleksi tahun ini, Bayu Somerset turut memperkenalkan edisi eksklusif pertama yang dijual pada harga sekitar RM300 hingga RM500 selain koleksi lain yang berharga antara RM99 hingga RM200 bergantung kepada produk dan kolaborasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




