Bazar Ramadan Santai BTP sepanjang 1.4km sedia menanti pengunjung bermula 1 Ramadan ini

Bazar Ramadan Santai BTP sepanjang 1.4km sedia menanti pengunjung bermula 1 Ramadan ini

nurul.hidayah@hmetro.com

Rawang: Bazar Ramadan Santai BTP akan menjadi salah satu platform bagi mempromosikan Bandar Tasik Puteri, di sini, sebagai bandar yang semakin pesat berkembang.

Penolong Pengurus Besar (Pembangunan Hartanah) Low Yat Group, Chia Gah Mei berkata, pihak syarikat selaku penaja utama yang menganjurkan bazar berkenaan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 18 mahu mempromosikan bandar terbabit kepada masyarakat umum.

“Kami mempunyai tanah seluas 2,670 ekar di kawasan ini untuk dibangunkan oleh Low Yat Group merangkumi 24,000 unit premis membabitkan bangunan komersial dan kediaman.

“Daripada jumlah itu, lebih daripada separuh atau hampir 13,000 premis sudah dibangunkan.

“Justeru itu, kami ingin mengambil peluang menerusi Bazar Ramadan Santai BTP ini sebagai salah satu platform bagi memperkenalkan kawasan ini sebagai bandar yang semakin berkembang,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan Bazar Ramadan Santai BTP.

Menurutnya, setakat ini, persiapan bazar berkenaan berjalan lancar dan berada di peringkat akhir dengan pemasangan khemah peniaga dijangka selesai pada Selasa ini.

“Setakat ini, sudah lebih 300 peniaga berdaftar untuk menyertai bazar ini. Kami jangkakan jumlah peniaga akan bertambah pada saat akhir sebelum bazar mula beroperasi Khamis nanti.

“Selain khemah peniaga ditaja oleh Bank Islam, kami juga sedang menyiapkan pentas utama bagi pengunjung yang akan berbuka puasa di sini nanti,” katanya.

Beliau berharap orang ramai di Lembah Klang serta kawasan sekitar akan berkunjung ke bazar berkenaan bagi menyokong peniaga serta memeriahkan aktiviti yang diadakan.

“Bazar Ramadan Santai BTP ini bukan sekadar bazar Ramadan biasa kerana ia dilengkapi pentas serta aktiviti dan tempat makan santai untuk pengunjung berbuka puasa.

“Orang ramai tidak perlu risau mengenai fasiliti di bazar ini kerana kami menyediakan kemudahan parkir, surau dan tandas bagi pengunjung,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Bazar Ramadan Santai BTP yang dikendalikan BigFood Festival bakal memecahkan rekod bazar terpanjang di Malaysia iaitu sepanjang 1.4 kilometer (KM) dengan menempatkan lebih 500 tapak.

Muhammad Faezee Abu Bakar mewakili BigFood Festival dilaporkan berkata, bazar itu yang juga ditaja Bank Islam turut menampilkan konsep ‘healing’ atau santai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top