Kuala Lumpur: Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor perkhidmatan awam Persekutuan di seluruh negara bermula hari ini, dengan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat khususnya urusan di kaunter terus beroperasi seperti biasa.
Tinjauan Bernama mendapati majoriti bangunan dan premis kerajaan Persekutuan beroperasi dengan jumlah kehadiran petugas ke pejabat yang minimum, manakala urusan di kaunter termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi perkhidmatan kritikal seperti Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia kekal lancar.
Di ibu negara khususnya pusat pentadbiran Persekutuan di Putrajaya, lebih lengang hari ini berbanding kebiasaan, berikutan majoriti penjawat awam di kementerian di sini, bertugas secara dalam talian dari rumah.
Kebanyakan bangunan kerajaan juga beroperasi dalam mod penjimatan tenaga termasuk tahap pencahayaan yang lebih rendah berbanding kelaziman, manakala operasi lif dihadkan separuh daripada jumlah lif.
Akauntan Bahagian Khidmat Perunding Jabatan Akauntan Negara Malaysia di Putrajaya Azlina Suliman berkata penjawat awam tidak kekok untuk melaksanakan BDR, malah sudah mempunyai jadual serta aliran tugas yang sistematik.
Azlina berkata, pegawai juga diperlukan untuk merekodkan tugasan dalam sistem, menggunakan komputer riba pejabat, mengutamakan tugas hakiki serta menyediakan ruang kerja kondusif bagi memastikan produktiviti kekal setanding di pejabat semasa tempoh BDR.
“Untuk BDR, saya perlu daftar masuk dan keluar secara dalam talian serta perlu melaporkan kehadiran setiap jam, serta akses kepada sistem diselaraskan melalui rangkaian peribadi maya (VPN). Perjalanan tugasan masih seperti biasa, tiada perubahan dalam pembahagian tugas,” katanya.
Pelaksanaan BDR sebagai langkah strategik kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat itu hanya terpakai kepada penjawat awam Persekutuan di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat.
Dasar itu bagaimanapun tidak terpakai kepada petugas awam dalam sektor keselamatan dan pertahanan, kesihatan dan pendidikan, selain hari BDR ditetapkan mengikut negeri serta hari kelepasan mingguan (HKM), iaitu negeri dengan HKM pada Ahad akan melaksanakan dasar berkenaan dari Selasa hingga Khamis, manakala bagi negeri HKM pada Jumaat, melaksanakan BDR dari Isnin hingga Rabu.
Di KEDAH, pengalaman BDR ketika tempoh pandemik COVID-19 sebelum ini, membolehkan Mohd Azhari Othman, 51, membuat persediaan lebih rapi termasuk urusan harian bagi memastikan urusan kerja tidak terganggu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



