BDR tetap menjaminkan kecekapan kerja, capai KPI

BDR tetap menjaminkan kecekapan kerja, capai KPI

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Inisiatif bekerja dari rumah (BDR) dilihat mampu menjamin kecekapan kerja dan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) bagi pekerja dan organisasi.

Namun, ia perlu dilaksanakan dengan kewujudan adaptasi reka bentuk dan persekitaran kerja yang sesuai, mekanisme pemantauan, pelaporan, komunikasi kolaborasi maya efektif serta infrastruktur lain yang menyokong.

Ketua Jabatan, Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Nor Wahiza Abdul Wahat berkata, keupayaan pemimpin organisasi yang terlatih membimbing pasukan mereka beroperasi dalam suasana bekerja secara maya juga memainkan peranan penting.

“Kajian-kajian terdahulu dari luar negara seperti Korea Selatan, India dan Arab Saudi mengenai pelaksanaan BDR yang dilaksanakan dengan betul membuktikan hasil positif terhadap prestasi kerja, kepuasan kerja dan keterlibatan kerja.

“Begitu juga dengan beberapa kajian di Malaysia sendiri. Pelaksanaan BDR yang baik, terkawal dan betul mampu membawa kepada bukan sahaja produktiviti dan prestasi kerja tetapi juga kesejahteraan fizikal, emosi serta mental pekerja,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara kelebihan BDR dan aturan kerja lebih anjal adalah meningkatkan produktiviti, prestasi dan kepuasan kerja sekiranya dilaksanakan dengan baik.

“Pada masa sama, ia juga memberikan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan seharian apabila terdapat fleksibiliti masa untuk mengurus keluarga, kesihatan dan kehidupan peribadi.

“Selain itu, BDR juga membolehkan bekerja menjimatkan kos serta masa apabila berlaku pengurangan masa perjalanan, kos pengangkutan dan penggunaan tenaga.

“Infrastruktur digital juga semakin tersedia dengan sistem seperti HRMIS dan SPOT-Me menunjukkan kesiapsiagaan teknikal organisasi selain membolehkan pelaksanaan kerja berasaskan hasil bukan kehadiran fizikal,” katanya.

Menurutnya, kekurangan BDR juga perlu dilihat, ditangani dan diperbaiki untuk memastikan kejayaan perlaksanaan inisiatif berkenaan.

Katanya, tanpa garis panduan yang jelas, pekerja boleh mengalami stres, ‘burnout’ dan hilang fokus selain sempadan masa kerja menjadi kabur sehingga boleh ‘mengganggu’ masa peribadi.

“Adalah sukar untuk memantau prestasi secara langsun dan ia memerlukan komunikasi serta perundingan yang lebih kompleks.

“Pada masa sama, Internet tidak stabil di sesetengah kawasan juga boleh menjejaskan pelaksanaan BDR.

“Kos data, peralatan dan keselamatan siber mungkin juga ditanggung pekerja. Persekitaran rumah yang tidak sesuai boleh menyebabkan masalah fizikal dan mental selain gangguan keluarga, ruang terhad serta kepadatan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata, pekerja boleh mempelajari dan meningkatkan ilmu selain kemahiran komunikasi bekerja secara maya serta kolaboratif

“Pada masa sama, pekerja juga perlu meningkatkan infrastruktur komunikasi, digital, pemantauan serta menambah baik sistem pemantauan dan pengukuran prestasi yang sesuai dengan operasi dan suasana BDR.

“Pelaksanaan konvensioanal sedia ada harus diadaptasi dengan persekitaran kerja yang berubah iaitu BDR.

“Penerokaan dan pengumpulan data daripada semasa ke semasa boleh dilakukan semasa pelaksanaan BDR bagi memperoleh kesahihan modelnya sesuai bagi jenis pekerjaan yang berbeza dan unik,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pelaksanaan BDR bermula 15 April ini diyakini tidak menjejaskan produktiviti penjawat awam, sebaliknya mampu meningkatkan kecekapan melalui pemantauan dan penetapan KPI yang jelas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, tanggapan bahawa BDR memberi ruang untuk pekerja berehat tanpa kawalan adalah tidak tepat kerana sistem pemantauan rapi sudah disediakan.

Setiap penjawat awam yang melaksanakan BDR diwajibkan mematuhi KPI yang ditetapkan serta melaporkan kehadiran secara berkala menerusi aplikasi Spot Me yang dibangunkan Jabatan Digital Negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top