Beberapa ajaran sesat sedang dipantau di Perak

Beberapa ajaran sesat sedang dipantau di Perak

am@hmetro.com.my

Ipoh: Kerajaan Perak melalui Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sedang mengenal pasti beberapa kumpulan disyaki ajaran sesat yang bertapak di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, buat masa ini Bahagian Penyelidikan JAIPk ditugaskan membuat pemantauan dan kajian di kawasan didakwa terdapat unsur menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri berkata, perkara berhubung pergerakan ajaran sesat terbabit tidak dihebahkan kepada umum atas sebab-sebab tertentu.

“Ia (ajaran sesat) di bawah Majlis Keselamatan Negara, kita tidak menghebohkan apa sedang kita buat, namun memang kita ada memantau beberapa tempat dan sebahagian mereka (kumpulan disyaki ajaran sesat) disoal siasat.

“Setelah ada kelihatan unsur-unsur ajaran sesat, maka JAIPk akan buat laporan ke pihak yang lebih atas. Kita ada Jawatankuasa Fatwa Negeri, Majlis Fatwa Kebangsaan, kemudian peringkat Majlis Raja-Raja akan mengisytiharkan fatwa (pengharaman) seperti Al-Arqam.

“Namun kita tak dapat nak hebahkan perkara itu takut orang lari ataupun kadang-kadang mereka berselindung di sebalik kegiatan lain. Oleh sebab itu, kita buat dengan hikmah, secara rahsia dan saya tak dapat menafikan bahawa memang ada,” katanya selepas merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-61 Persekutuan Seruan Islam Perak (Jam’iyah Perak), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim mengesahkan kewujudan gerakan ajaran sesat Millah Abraham di negeri ini, namun dalam skala kecil.

Beberapa hari lalu, tular video berdurasi lapan minit 16 saat di media sosial memaparkan kawasan dusun dekat Slim River, Perak yang dibangunkan oleh kumpulan didakwa melakukan ritual menyeleweng syariat Islam.

Mengulas lanjut, Saarani menasihati orang ramai supaya merujuk pihak berkuasa agama seperti pegawai tadbir agama, JAIPk dan Jabatan Mufti Perak bagi mengelakkan diri daripada terjerumus kepada pemahaman akidah yang salah.

Ditanya tentang penutupan premis perniagaan dan sekolah berkaitan GISB Holdings (GISBH) di negeri ini, beliau menjelaskan perkara itu tertakluk kepada arahan pihak berkuasa.

“Kalau betul didapati bersalah dan mengganggu keselamatan, maka tindakan yang sewajarnya akan dibuat mengikut undang-undang.

“Saya tak fikir mereka masih beroperasi kerana mereka sedang melarikan diri dan banyak premis milik syarikat itu yang sudah ditutup,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top