hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan sejak petang tadi.
Antara kawasan yang terjejas ialah, Seksyen 7, Kampung Melayu Subang dan Seksyen 26.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya turut menggerakkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bersama satu jentera bagi memantau kawasan terjejas air.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat di Kampung Melayu Subang pada jam 8.30 malam.
“Susulan itu, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong yang diketuai oleh Komander Operasi, Marzu Abdullah digerakkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera,” katanya.
Menurutnya, pemantauan mendapati kawasan terjejas dinaiki air dengan anggaran ketinggian 0.5 meter.
“Bagaimanapun, keadaan semasa didapati terkawal dan trend air menunjukkan penurunan memandangkan hujan semakin reda.
“Setakat ini, tiada pemindahan mangsa dilakukan dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka,” katanya.
Pihak bomba akan terus melakukan pemantauan berkala di lokasi bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Orang ramai dinasihatkan agar kekal tenang namun waspada sekiranya hujan kembali lebat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




