Bedah siasat Zara Qairina sewajarnya dilaksana dari awal – Armizan

Bedah siasat Zara Qairina sewajarnya dilaksana dari awal – Armizan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Proses bedah siasat sewajarnya dilaksanakan dari awal bagi kes kematian yang tidak jelas punca, seperti kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, arahan Pejabat Peguam Negara (AGC) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi tujuan bedah siasat adalah langkah tepat dan perlu dilaksanakan segera.

“Sewajarnya dari peringkat awal lagi dalam kes-kes yang sesuatu kematian tidak jelas punca dan situasinya, bedah siasat wajib dilaksanakan untuk mengelakkan sebarang isu berbangkit sebagaimana yang berlaku dalam kes ini.

“Dalam keadaan itu, pegawai penyiasat mempunyai kewajipan untuk menentukannya sebagaimana termaktub dalam Seksyen 330 Kanun Tatacara Jenayah.

“Diharap PDRM membuat tindakan susulan segera untuk proses bedah siasat. Sungguhpun mungkin masih terlalu awal untuk diputuskan, pihak berkuasa perlu terbuka untuk mempertimbangkan diwujudkan inkues sekiranya keadaan menuntut kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata demikian menjawab pertanyaan berkaitan kes Allahyarham Zara Qairina ketika ditemui media selepas merasmikan Pertandingan Betitik sempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama 2025 yang diadakan di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik, Tuaran.

Beliau berkata, prosiding inkues adalah platform yang tersedia dalam sistem perundangan negara untuk membolehkan segala perkara dan situasi diteliti melalui sebanyak mungkin saksi yang relevan.

“Ini amat penting dalam keadaan sesuatu kes yang mendapat perhatian umum luar biasa dan mengundang pelbagai spekulasi dan fitnah.

“Ya memang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan membuat spekulasi atas motif tertentu, namun lebih ramai di luar sana rakyat yang ingin mencari kebenaran dan menuntut keadilan.

“Justeru, keadilan perlu ditegakkan buat Allahyarham dan sebarang spekulasi dan fitnah perlu dibendung melalui proses yang telus dan teratur berpaksikan kepada undang-undang. Saya tidak berniat mencampuri siasatan, ini pandangan peribadi saya,” katanya.

Semalam, AGC mengarahkan kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

AGC memaklumkan, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan termasuk keperluan untuk menggali semula (exhume) mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top