mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Linda Hashim, 41, tetap meminta anak-anaknya agar menghormati bapa mereka walau apapun terjadi.
Linda berkata, dia selalu berpesan pada anak-anak agar jangan masuk campur urusan ibu bapa.
“Saya masih lagi mempunyai sifat kemanusiaan apabila membenarkan Beego berjumpa anak-anak tanpa sebarang halangan.
“Tapi sayangnya dia tak gunakan peluang itu sebaiknya. Bulan ini dia hanya jumpa anak-anak sekali sahaja. Itu pun dalam 15 minit saja dan di tepi longkang,” katanya kepada Harian Metro.
Linda berkata, Beego tidak menggunakan kesempatan itu dengan membawa anak-anak pergi makan dan meluangkan masa lebih lama dengan mereka.
Diminta mengulas kenyataan Beego menerusi sebuah portal berita yang mengatakan dia akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan semua perkara, Linda berkata, dia akan menunggu harinya.
“Saya bersiap sedia seandainya ada berbaur fitnah atau manipulasi, saya akan tegakkan perkara sebenar,” katanya.
Terdahulu, Linda menuntut cerai daripada Beego atau Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 6 Februari lalu.
Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 sekali gus hadir bersama ke mahkamah bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Pasangan ini berkahwin pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.
© New Straits Times Press (M) Bhd