Bekalan air di Melaka bertahan sehingga September

ALOR GAJAH: Bekalan air di tiga empangan di Melaka dijangka dapat bertahan sehingga bulan September, sekali gus mengelak berulang catuan air seperti tahun lalu, ekoran cuaca panas yang melanda negeri itu, sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata berdasarkan paras empangan hari ini, Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah merekodkan kapasiti air sebanyak 22,013 juta liter air atau mencapai paras 70.6 peratus.

Beliau berkata, paras Empangan Jus di Jasin pula, merekodkan jumlah kapasiti air sebanyak 36,365 juta liter air (84.1 peratus) dan Empangan Asahan di Jasin merekodkan kapasiti air berjumlah 695 juta air (99.9 peratus).

“Segala perancangan melibatkan bekalan air di Melaka sedang dilaksanakan secara berperingkat. Kita sentiasa memantau paras empangan air di negeri ini.

“Alhamdulillah sejak semalam, Melaka mula menerima taburan hujan yang lebat setelah lama cuaca panas melanda. Semalam sahaja terdapat kenaikan paras bacaan air sebanyak satu peratus sekali gus meningkatkan kapasiti air di tiga empangan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sihat @ Masjid Tanah Anjuran Hospital Pakar Putra dan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Lendu di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, penduduk Melaka dinasihatkan terus mengamalkan sikap berjimat-cermat dalam penggunaan air seharian, bagi mengelak pembaziran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, semua agensi yang terbabit dalam pemantauan dan pengurusan banjir di negeri itu bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlaku banjir kilat, sekiranya hujan lebat dalam tempoh yang lama.

Sulaiman berkata, pelbagai pelan bagi mengelak berlaku banjir kilat dilakukan seperti memastikan sistem perparitan berada dalam keadaan baik dan kerja mendalamkan sungai dilaksanakan secara berkala.

“Semua pegawai daerah juga diingatkan untuk melihat kawasan rendah yang berpotensi dilanda banjir kilat dan segera melaksanakan kerja yang sepatutnya, bagi mengelak bencana itu daripada berlaku,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top