am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Lebih 600 unit rumah di empat blok Flat Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini, terjejas selepas bekalan air dipotong Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), pagi tadi.
Pemotongan dibuat dipercayai akibat tunggakan bil yang gagal dilunaskan.
Penduduk, Azme Ayop, 59, berkata, dia mula menyedari ketiadaan air, jam 7 pagi, ketika mahu menghantar anaknya ke sekolah.
“Ketika mahu mandi, saya dapati air tidak keluar. Apabila saya hubungi pihak pengurusan, mereka maklumkan Air Selangor sudah memotong bekalan air,” katanya dihubungi.
Menurutnya, ini bukan kali pertama gangguan air berlaku namun sebelum ini, pengurusan perumahan itu memberikan alasan ia disebabkan pam air rosak.
“Kali ini lain, memang betul-betul kena potong. Tangki pun habis awal pagi tadi, jadi memang langsung tiada sumber air sekarang,” katanya.
Azme berkata, tindakan memotong bekalan air itu amat membebankan penduduk yang bergantung kepada kemudahan asas itu untuk urusan harian seperti memasak dan sebagainya.
“Bayangkan, lebih 600 unit rumah tiada air, dengan ada warga emas, anak kecil, semua jadi susah.
“Buat masa ini, kami tidak tahu sampai bila bekalan akan dipotong,” katanya.
Menurut Azme, penduduk sudah beberapa kali berbincang dengan pihak pengurusan berhubung isu pengurusan penyelenggaraan dan bayaran utiliti.
“Alasan mereka ialah ramai penduduk gagal lunaskan yuran penyelenggaraan dan kerana itu tiada dana untuk lunaskan bil air,” katanya.
Katanya, masalah lain seperti lif rosak juga sering berlaku.
“Semua blok pernah hadapi isu lif rosak. Namun yang paling teruk ialah apabila bekalan air dipotong. Itu keperluan asas,” katanya.
Azme berkata, setakat ini, penduduk belum tahu apa yang perlu dilakukan.
“Kami mungkin akan berbincang sesama sendiri untuk ambil tindakan sewajarnya selepas ini.
“Kami juga berharap pihak berkaitan bertanggungjawab dan tampil menyelesaikan isu ini segera kerana ia membabitkan kebajikan penduduk,” katanya.
Pada masa sama, setakat jam 3.30 petang ini, bekalan air masih belum disambung.
© New Straits Times Press (M) Bhd