Bekalan air terputus, pengusaha industri di Iskandar Puteri lapor polis

Bekalan air terputus, pengusaha industri di Iskandar Puteri lapor polis

am@hmetro.com.my

Kota Iskandar: Gangguan bekalan air sejak dua hari lalu di Johor Bahru bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian penduduk, malah memaksa pengusaha industri membuat laporan polis selepas operasi mereka terhenti akibat ketiadaan air.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Beliau berkata, masalah yang berlarutan sejak dua hari dan kebanyakannya berlaku di kawasan Johor Bahru membuatkan penduduk tidak berpuas hati.

Menurutnya, ada penduduk mengeluh anak tidak dapat bersekolah, manakala pihak industri di Kawasan Perindustrian SILC Iskandar Puteri juga tidak dapat beroperasi hingga membuat laporan polis.

Justeru beliau berharap, kerajaan negeri serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memandang serius perkara ini supaya ia tidak berulang pada masa depan.

“Saya juga berharap Ranhill SAJ bertanggungjawab termasuk menghantar bekalan air ke sekolah, surau, masjid kerana mereka juga memerlukan air.

“Kita harap tindakan segera diambil,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor yang ke-15 di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di kedai runcit serta kedai serbaneka sekitar daerah ini mendapati rata-rata peruncit kehabisan stok air mineral.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kira-kira 100,000 akaun pengguna di beberapa kawasan di daerah ini mengalami gangguan bekalan air akibat kerosakan luar jangka pada pam-pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top