Bekalan bawang merah berkurangan akibat bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Terengganu: Bencana banjir yang berlaku di India menyebabkan bekalan bawang merah dari negara itu berkurangan sekaligus meningkatkan harga di pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata kerajaan sedang berusaha menyelesaikan masalah kekurangan bekalan bawang dari negara itu dengan mendapatkan bekalan dari negara lain bagi memenuhi permintaan pengguna di Malaysia.

Beliau berkata, sebagai alternatif pengguna boleh mendapatkan bekalan bawang dari beberapa negara lain seperti Thailand, Pakistan, China, Belanda, Myanmar dan Indonesia.

“Kita dimaklumkan kebanyakan kawasan pengeluar bawang di negara itu sedang berdepan bencana banjir. Jadi pengguna yang mahu mendapatkan bekalan bawang dari India diharap bersabar dan disarankan membeli bawang alternatif yang harganya masih kekal relevan.

“Namun, jika ada peniaga yang menaikkan harga bawang dengan sewenang-wenangnya, siasatan boleh dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan,” katanya pada sidang media selepas melawat Projek Fertigasi Tanaman Timun di Kampung Sungai Ular semalam.

Sementara itu, Rasol berkata kerajaan memberi jaminan bekalan bahan makanan mencukupi dan membenarkan pihak pemborong untuk menyimpan lebih bekalan sebanyak 30 peratus daripada kuota biasa yang ditetapkan bagi musim tengkujuh ini.

Beliau berkata, kebenaran itu bagi memastikan rakyat tidak terputus bekalan bahan makanan dalam tempoh musim tengkujuh sementelah negara masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri bagi menghadapi penularan Covid-19
ketika ini.

 

ZA137 Malay News
National Desk