am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Bekalan beras di Sabah kini kembali stabil dengan tiada lagi laporan kedai kehabisan stok, hasil pemantauan rapi serta peningkatan pengeluaran oleh pihak berkaitan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pihaknya memastikan stok penimbal beras sentiasa mencukupi bagi tempoh sehingga enam bulan sebagai langkah menghadapi sebarang kemungkinan krisis bekalan.
“Stok beras kita perlu ada sehingga enam bulan. Bukan bermaksud enam bulan (beras) itu akan habis sekaligus, tetapi ia berperingkat dan sentiasa mencukupi.
“Sekiranya berlaku gangguan bekalan seperti negara pengeksport tidak menghantar beras, kita masih mempunyai tempoh untuk mencari sumber alternatif tanpa menjejaskan bekalan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi bersama media di sini, semalam.
Dalam pada itu, Jamawi berkata, hasil pemantauan di kilang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) serta peringkat pemborong mendapati situasi kini bertambah baik.
“Saya sendiri memantau di kilang, pemborong dan telah mengadakan libat urus sebanyak empat hingga lima kali.
“Laporan terkini menunjukkan keadaan sudah stabil dan tiada lagi kedai kosong,” katanya.
Bagaimanapun, beliau turut mendedahkan terdapat isu pemborong yang gagal mengambil stok walaupun telah membuat bayaran, sekali gus menjejaskan agihan beras ke pasaran.
“Laporan minggu lalu menunjukkan kira-kira 3,000 tan beras telah dibayar tetapi tidak diambil oleh pemborong. Ini memberi kesan kepada pengedaran walaupun stok mencukupi.
“Pelbagai alasan diberikan termasuk kos diesel meningkat dan kekurangan pemandu, namun tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Susulan itu, beliau menegaskan tindakan terhadap pemborong akan diambil sekiranya didapati menyimpan beras tanpa mengedarkannya, termasuk hukuman denda minimum RM50,000 serta penjara.
Sementara itu, Jamawi berkata, audit terhadap pemborong sedang dijalankan dan laporan dijangka diperoleh dalam masa terdekat bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam kegiatan menyimpan stok.
Jamawi turut menasihatkan pengguna agar tidak melakukan pembelian panik yang boleh menjejaskan kestabilan pasaran.
“Pengguna tidak perlu membeli beras secara berlebihan kerana ia juga boleh rosak jika disimpan terlalu lama. Belilah mengikut keperluan semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




