Bekalan beras di Sabah mencukupi, pengguna dinasihatkan jangan panik

Bekalan beras di Sabah mencukupi, pengguna dinasihatkan jangan panik

Kota Kinabalu: Pengguna dinasihatkan supaya tidak panik dan berbelanja secara berhemat kerana bekalan beras di Sabah ketika ini masih mencukupi bagi menampung keperluan rakyat dan berada dalam keadaan terkawal.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata, pembelian panik yang berlaku bukan berpunca daripada kekurangan bekalan, sebaliknya didorong oleh penularan maklumat tidak sahih yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan menyebarkan khabar angin sedemikian bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah berpotensi mengganggu kestabilan pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chan berkata, beliau telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Operasi Pejabat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) Sabah Hervian Kirman dan Timbalan Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Sabah Rosman Shamsul bagi mendapatkan gambaran semasa situasi bekalan bahan makanan asas di Sabah.

Beliau berkata, BERNAS memberi jaminan bekalan beras di Sabah adalah mencukupi untuk menampung keperluan semasa dan kerajaan negeri turut mempertingkatkan pemantauan di seluruh rantaian pengedaran bagi memastikan keterjaminan makanan terus terpelihara.

“Orang ramai turut diseru supaya kekal tenang, berbelanja secara berhemat serta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian secara berlebihan atau hoarding kerana tindakan itu boleh menjejaskan kestabilan pasaran serta mengganggu akses pengguna lain terhadap bekalan beras,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top