bhnews@bh.com.my
PASIR GUDANG: Bekalan elektrik di lapan premis yang terbabit aktiviti perjudian di sekitar Pasir Gudang dipotong dalam satu operasi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam yang diketuai pegawai risikan operasi Bahagian siasatan jenayah bersama sepasukan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pasir Gudang menjalankan kerja pemotongan bekalan elektrik.
Beliau berkata, ia termasuk di Masai, Seri Alam, Pasir Gudang dan Taman Scientex.
Katanya, operasi pemotongan elektrik oleh TNB dijalankan mulai jam 10 pagi hingga jam 12.15 tengah hari.
Tindakan dilakukan mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001).
“Permohonan pemotongan bekalan elektrik dilakukan selaras kuasa yang diberikan kepada pegawai polis mengikut peruntukan Seksyen 38(1A) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dengan tujuan mengelakkan premis terbabit terus menjalankan aktiviti perjudian.
“Tahun lalu, sebanyak 38 premis yang menjalankan aktiviti perjudian dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




