Bekalan elektrik terputus, beberapa kedutaan di Vanuatu musnah akibat gempa bumi

Bekalan elektrik terputus, beberapa kedutaan di Vanuatu musnah akibat gempa bumi

Wellington: Beberapa kedutaan di negara kepulauan Pasifik, Vanuatu, musnah akibat gempa bumi berukuran 7.3 skala Richter pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa itu berlaku kira-kira 30 kilometer ke barat ibu negara Vanuatu, Port Vila, pada kedalaman sekitar 57 kilometer.

Menteri Luar New Zealand Winston Peters berkata kedutaan negaranya yang terletak di lokasi sama dengan kedutaan Amerika Syarikat (AS), Perancis dan United Kingdom turut mengalami kerosakan ketara.

Kedutaan AS memaklumkan ia “mengalami kerosakan besar” dan akan ditutup sehingga diberitahu kelak.

“New Zealand amat prihatin terhadap gempa bumi besar di Vanuatu dan kerosakan yang berlaku,” tulis Peters di platform X.

“Doa kami bersama rakyat dan pihak berkuasa Vanuatu. Kami bersedia membantu Vanuatu dan akan bertindak balas terhadap sebarang permintaan bantuan,” tambahnya.

Kenyataan daripada misi AS di Papua New Guinea turut menyatakan solidariti yang sama.

“Doa kami kepada semua yang terjejas akibat gempa bumi ini dan kerajaan AS akan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kami di Vanuatu,” menurut kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top