syazrina@hmetro.com.my
Tehran: Sebelum perang, 40 kapal tangki membawa 20 juta tong minyak mentah dan produk petroleum yang ditapis, melintasi Selat Hormuz setiap hari.
Memetik Forbes, minggu ini, Iran hanya membenarkan beberapa kapal tangki melalui Selat Hormuz termasuk kapal yang berdaftar di India dan China. Keadaan itu menimbulkan kebimbangan mengenai sekatan minyak dan risiko kekurangan bekalan di rantau Asia.
Penganalisis Mike Haigh dan pasukannya dari Societe Generale menjangkakan, aliran minyak melalui selat itu akan menjadi purata 500,000 tong sehari, mengikut kehendak Iran.
Sebahagian besar minyak yang tersimpan masih sampai ke pasaran.
Difahamkan, Arab Saudi menggunakan laluan paip Timur-Barat yang diperluas untuk mengangkut tujuh juta tong sehari ke pelabuhan Laut Merah di Yanbu.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga memindahkan sebahagian minyak ke timur melalui paip ke pelabuhan Fujairah, walaupun Iran dilaporkan menyerang infrastruktur itu.
Energy Aspects meramalkan, gangguan berkaitan Hormuz akan mencecah 10 juta tong sehari, dengan jumlah pengeluaran minyak mentah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) kini turun tujuh juta tong sehari kepada 22.3 juta.
Itu bersamaan tujuh peratus daripada keperluan harian minyak mentah dunia sebanyak 100 juta tong sehari.
Amerika Syarikat (AS), sebagai pengeluar minyak dan gas asli terbesar dunia, agak terlindung daripada kejutan bekalan.
Namun, negara lain tidak mempunyai kelebihan berkenaan.
Ini termasuk Myanmar, Vietnam dan Filipina yang memperoleh lebih 80 peratus minyak mereka melalui Selat Hormuz dan hanya mempunyai simpanan untuk kira-kira sebulan.
Menurut akhbar Thailand, The Nation, Kementerian Tenaga Thailand mengatakan konflik Iran tidak akan mencetuskan kekurangan minyak, namun menyatakan rizab gabungan dan pelan kontingensi selama 61 hari sekiranya Selat Hormuz terganggu.
Forbes pula melaporkan Taiwan dan Bangladesh masing-masing boleh bertahan kira-kira 100 hari dengan Bangladesh sudah memperkenalkan sekatan bahan api dan menutup kilang baja.
Negara lebih besar seperti Korea Selatan, India, Indonesia dan Jepun mempunyai rizab strategik untuk bertahan lebih lama jika penghantaran melalui Selat Hormuz terus terganggu.
China mampu bertahan 300 hari tanpa penghantaran minyak dari Selat Hormuz berikutan rizab petroleum strategik 1.3 bilion tong serta pelbagai sumber tenaga lain.
Negara berkenaan kini dilaporkan mengambil langkah mengurangkan permintaan, mempelbagaikan sumber tenaga dan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui untuk menampung kekurangan bekalan yang dihadapi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




