Bekalan pulih secara berperingkat hari ini

Bekalan pulih secara berperingkat hari ini

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bekalan air di 13 kawasan yang mengalami gangguan tidak berjadual akibat paip pecah di Jalan Kuari di sini semalam, pulih secara berperingkat mulai awal pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata kerja membaiki paip pecah selesai jam 9 malam tadi, manakala air mula disalurkan secara berperingkat mulai jam 3.30 pagi tadi.

Hingga jam 7 pagi tadi, pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas sudah mencapai tahap 50 peratus.

“Pemulihan sepenuhnya bekalan air di kawasan yang terjejas di jangka selesai pada jam 8 malam ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sebanyak 13 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dengan bekalan air ditutup pada jam 4 petang bagi membaiki paip pecah di Jalan Kuari.

Kawasan terjejas adalah di Kampung Cheras Baru, Pandan Mewah, Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra dan Taman Mestika.

Elina berkata, ketika ini Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air. Tempoh masa pemulihan bekalan air pula berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Justeru bantuan bekalan air melalui lori tangki akan terus digerakkan di kawasan yang masih terjejas. Namun Air Selangor meminta kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mendapatkan bekalan air dari lori tangki,” katanya.

Untuk maklumat lanjut dan status terkini bekalan air, pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi di laman web Air Selangor di www.airselangor.com; aplikasi Air Selangor; laman sosial media Facebook, Instagram, Twitter; atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top