Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru individu yang pernah meninggalkan parti itu agar kembali menyertai UMNO demi memperkukuh perpaduan dan perjuangan bangsa Melayu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa berkata, seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membuka ruang kepada bekas ahli kembali wajar disambut dengan sikap terbuka oleh semua pihak.
Bekas ahli diseru kembali ke pangkuan UMNO

Menurut Khaled, UMNO bukan sekadar parti politik, sebaliknya menjadi benteng utama dalam memastikan kelangsungan dan kemajuan bangsa Melayu.
Sejak penubuhannya, parti itu berperanan sebagai wadah yang melindungi, memajukan dan menyatukan orang Melayu.
Tegas beliau, UMNO adalah “‘Rumah Besar’ yang didirikan untuk melindungi dan memajukan bangsa” dan bukan milik sesiapa secara peribadi.
Rumah ini telah lama menyediakan bumbung dan ruang untuk orang Melayu berteduh, berkehidupan dan membangun persaingan.
“Bumi mana tidak ditumpahi hujan, langit mana yang tidak menyaksikan mega mendung berarak. Namun, perselisihan tersebut tidak seharusnya menjadikan rumah ini dimusuhi.
“Di persadanya kita semua pernah membesar, terdidik dan mendapat perlindungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel lain: Inisiatif Rumah Bangsa: KJ mahu kembali ke UMNO, sedia draf surat permohonan
Tambahnya lagi, UMNO juga merupakan pelantar yang menghubungkan sebuah penjajahan dengan sebuah kemerdekaan.
“Ia mengangkat sebuah bangsa daripada kemiskinan kepada bangsa yang sejahtera serta memuliakan Islam sebagai sebuah agama berkemajuan,”ujar beliau.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua yang pernah bersama UMNO agar kembali ke pangkuan parti.
“Rumah ini masih kukuh, bayunya masih seperti dahulu, dan hujan rintik terus dihias pelangi jua.
“Kami yang tertinggal masih merindui semua kenangan dahulu sebagai sebuah keluarga,” ujarnya lagi.
Sumber: FB Khaled Nordin




