saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai lapan bekas atlet negara tampil memberi sokongan serta menyuntik inspirasi kepada kanak-kanak dan remaja Shelter Home for Children menerusi satu program khas yang dianjurkan, hari ini.
Antara bekas atlet ternama yang hadir termasuk bekas pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) wanita, G Shanti, Datuk Zaiton Othman, serta legenda badminton negara yang juga pemenang Piala Thomas 1992, Datuk Foo Kok Keong.
Program itu adalah hasil kerjasama antara bekas atlet negara, Persatuan Permotoran Klasik Malaysia dan Yayasan Pemerkasaan Pendidikan dan Kemahiran (YPPK) dengan objektif utama menyemai nilai kemanusiaan, motivasi dan harapan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kurang bernasib baik.
Bekas atlet olahraga negara, Keney Martin, yang kini menguruskan Shelter Home for Children berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan memberi rasa kekitaan kepada kanak-kanak dan remaja yang kebanyakannya datang daripada latar belakang kehidupan yang sukar.
“Kesemua yang menganjurkan acara hari ini berganding bahu dengan matlamat untuk menyemai rasa kekitaan dan harapan kepada kanak-kanak di rumah kebajikan ini, memandangkan kebanyakan mereka datang daripada latar belakang yang mencabar.
“Justeru, kami ingin menunjukkan kasih sayang kepada mereka menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan,” katanya.
Menurut Keney, setiap kanak-kanak dan remaja diberi peluang untuk menaiki kereta klasik yang dibawa oleh ahli Persatuan Permotoran Klasik Malaysia.
“Setiap kanak-kanak berpeluang menaiki kereta klasik, sekali gus membuatkan mereka berasa istimewa dan dihargai. Ini juga adalah sebahagian daripada usaha bekas atlet untuk memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik,” katanya.
Sementara itu, bekas atlet olahraga kebangsaan, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang juga Pengerusi YPPK menggalakkan lebih ramai bekas atlet tampil menyumbang tenaga dan kepakaran menerusi program kemasyarakatan seumpama itu.
“Sebenarnya banyak sumbangan yang bekas atlet boleh berikan kepada masyarakat termasuk dari segi pengetahuan, kemahiran dan pendidikan. Ini hanyalah sumbangan kecil kami sebagai bekas atlet kepada masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




