Bekas banduan dipercayai ketua 'Geng Muncung' curi motosikal ditahan bersama 10 konco

Bekas banduan dipercayai ketua 'Geng Muncung' curi motosikal ditahan bersama 10 konco

Seri Iskandar: Polis menahan 11 lelaki termasuk seorang bekas banduan dipercayai terbabit dalam kes mencuri motosikal di Perak Tengah, Manjung dan Ipoh sejak Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata lelaki berusia 27 tahun yang mempunyai rekod berkaitan kes dadah dan curi motosikal itu dibebaskan pada Januari lepas, dan dipercayai menjadi ketua kumpulan “Geng Muncung”.

Beliau berkata dia ditahan bersama 10 lagi lelaki berusia lingkungan 21 hingga 46 tahun dari 29 Mac hingga 2 April lepas di beberapa lokasi berasingan.

“Kesemua suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR di sebuah kedai makan di Seri Iskandar pada 22 Mac lepas.

“Polis berjaya merampas lima motosikal yang telah dileraikan, komponen enjin dan pelbagai alat ganti motosikal.

“Selain itu, pihak polis juga menemukan paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah methamphetamine seberat 0.56 gram semasa membuat tangkapan terhadap seorang daripada suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.

Hafezul Helmi berkata kesemua suspek masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan, mekanik dan bekerja sendiri selain dua suspek turut positif dadah methamphetamine.

Beliau berkata dengan tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian motosikal yang bergerak aktif sejak Januari lepas.

“Polis juga sedang mengesan dua lagi ahli kumpulan yang masih bebas, iaitu Amirul Shafiq Khairul Azhar dan Muhammad Nur Hakim Mat Arib yang kedua-duanya dari Ipoh,” katanya.

Beliau berkata modus operandi kumpulan itu menyasarkan motosikal Yamaha Y125Z dan Yamaha Y15ZR, selain menjual komponen dan alat motosikal yang dicuri dengan harga murah.

“Mereka juga membuang komponen motosikal yang tidak boleh dijual ke dalam sungai atau semak di sekitar ketiga-tiga kawasan berkenaan,” katanya, sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Hafezul Helmi berkata orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Farah Ellyana Liki Maliki di talian 013-892 7218.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top