Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra, bekas calon Bebas yang pernah bertanding di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kini sah menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Bekas calon Bebas PRU-15 sah sertai PAS
Pengesahan penyertaannya diumumkan oleh Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menerusi satu kenyataan rasmi di Facebook pada Sabtu. Cleopatra yang juga seorang ibu tunggal menjelaskan bahawa keputusannya menyertai PAS dibuat demi masa depan anak-anaknya.
“Cleopatra yang juga merupakan seorang ibu tunggal, sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk mengenali PAS dengan lebih dekat serta menyatakan kesediaan mengikuti tarbiah parti tersebut,”
Bekas calon Bebas PRU-15 aktif dalam bidang kebajikan
Ujar DMPM, selain aktif dalam bidang kebajikan, Cleopatra juga dikenali sebagai pengasas NGO Hetero Action Women Alliance (HAWA), sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak wanita dan masyarakat.
Peranannya sebagai pempengaruh media sosial turut menjadikannya suara penting dalam pelbagai isu sosial dan pembangunan komuniti.
“Peranannya sebagai pempengaruh menjadikannya suara penting dalam memperjuangkan isu-isu sosial dan pembangunan komuniti,” menurut DMPM.
Cleopatra sertai PAS satu langkah strategik
Penyertaannya dalam PAS turut disambut baik oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh, yang menyifatkannya sebagai langkah positif dalam memperkukuhkan suara wanita dalam politik tanah air.
“Penyertaan Cleopatra ke dalam PAS dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh peranan politik wanita di Malaysia serta memperjuangkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Artikel lain: Bukan wakil rakyat, Tengku Zafrul tak perlu bayar pampasan RM100 juta -Tok Mat
Beliau turut menegaskan bahawa PAS, khususnya sayap Muslimat, sentiasa cakna terhadap nasib golongan rentan seperti ibu tunggal, warga emas, OKU, anak yatim dan mereka yang memerlukan.
Dengan latar belakang sebagai aktivis dan suara lantang di media sosial, penyertaan Cleopatra dilihat bukan sahaja memberi nafas baharu kepada perjuangan politik wanita, tetapi juga mencerminkan satu komitmen peribadi demi masa depan anak-anak dan kesejahteraan masyarakat seluruhnya.
Sumber: Facebook Dewan Muslimat PAS Malaysia -DMPM