firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Dr PS Sugumaran tampil mempertahankan tindakan peletakan jawatan beramai-ramai barisan Exco badan induk itu, dengan menegaskan keputusan berkenaan dibuat demi kepentingan masa depan bola sepak negara.
Menurut Sugumaran, tindakan drastik itu bukan berpunca daripada kesalahan mana-mana individu, sebaliknya didorong oleh keutamaan untuk melindungi kelangsungan ekosistem pembangunan bola sepak Malaysia, khususnya dalam melahirkan generasi pemain tempatan pada masa depan.
“Kepentingan negara mesti menjadi keutamaan. Masa depan bola sepak Malaysia bergantung kepada pembangunan berterusan, bukan sekadar keputusan jangka pendek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menegaskan, sebarang risiko yang boleh membawa kepada penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) perlu dielakkan kerana ia bakal memberi kesan besar terhadap keseluruhan struktur pembangunan bola sepak negara.
“Jika FIFA menggantung FAM, sudah tentu ia akan merencatkan pembangunan bola sepak, menjejaskan program akar umbi, liga domestik dan merugikan semua pihak termasuk pemain, jurulatih serta peminat,” katanya.
Terdahulu, barisan Exco FAM mengumumkan peletakan jawatan secara beramai-ramai susulan kebimbangan terhadap tadbir urus badan induk itu, ketika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedang menjalankan penilaian terhadap FAM berkaitan struktur dan pengurusan organisasi.
Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha untuk memastikan FAM kekal mematuhi peraturan serta garis panduan ditetapkan FIFA dan AFC, sekali gus mengelakkan sebarang tindakan tatatertib yang boleh menjejaskan status bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sugumaran menambah, keputusan itu juga diharap dapat membuka ruang pembaharuan dan penstrukturan semula yang lebih menyeluruh demi memastikan pembangunan bola sepak negara bergerak ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli gabungan FAM yang memberi kepercayaan kepadanya pada Kongres Pemilihan lalu, yang menyaksikan dirinya dipilih sebagai Exco FAM pada Februari 2025 tahun lalu.
Walaupun hanya sempat berkhidmat selama 11 bulan, Sugumaran tegaskan ia bukan penamat kepada sumbangan dalam arena bola sepak, sebaliknya komited untuk terus berbakti selagi diperlukan, sama ada di peringkat nasional mahupun negeri.
© New Straits Times Press (M) Bhd



