am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Bekas guru besar sebuah sekolah rendah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memeluk dan mencium seorang bekas guru pelatih wanita, tahun lalu.
Mohammed Mohd Som, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap guru pelatih wanita berusia 21 tahun ketika kejadian dengan cara memeluk dan mencium dahi mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah premis di Taman Wira Indah dan Taman Ilir Jaya, dekat sini, pada 18 Januari dan 30 Julai lalu, kira-kira 11 malam.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohammed didakwa melakukan kesalahan sama dengan cara memeluk dan mencium pipi mangsa di dalam tandas kelas prasekolah sebuah sekolah di Lubok China, dekat sini, pada 16 Ogos lalu, kira-kira 10.40 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM7,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan selesai dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Mac depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd