Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik Pengerusi Majlis Media Malaysia

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik Pengerusi Majlis Media Malaysia

SHAH ALAM – Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia.

Majlis Media Malaysia (MMM) dalam kenyataan berkata, pelantikan Nallini dipersetujui sebulat suara oleh Ahli-Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia dalam mesyuarat lembaga yang diadakan pada 26 Mei 2026.

Menurutnya, majlis menyambut baik pelantikan itu sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh peranannya sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas, berwibawa dan berteraskan kepentingan awam bagi industri media.

“Di bawah kepimpinan Nallini, MMM akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh institusi, melaksanakan kod tatakelakuan, membangunkan sistem aduan yang adil dan diyakini serta meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai peranan media dalam sebuah masyarakat demokratik.

“Majlis juga akan memberi perhatian khusus kepada agenda reformasi undang-undang yang melibatkan media, wartawan dan hak orang awam untuk memperoleh maklumat yang tepat.

“Ini termasuk usaha menggalakkan persekitaran perundangan yang lebih jelas dan seimbang, selaras dengan prinsip kebebasan bersuara, hak terhadap maklumat, etika kewartawanan serta kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Nallini bersara daripada Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Februari 2026 selepas berkhidmat selama lapan belas tahun yang cemerlang dalam badan kehakiman.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah berkhidmat di ketiga-tiga peringkat mahkamah atasan dan menulis kira-kira 325 penghakiman yang dilaporkan, termasuk keputusan-keputusan penting dalam bidang undang-undang perlembagaan dan komersial.

Sebagai wanita pertama berketurunan Asia Selatan yang dilantik ke badan kehakiman atasan Malaysia, beliau pernah beramal sebagai peguam di Tetuan Skrine selama lebih dua dekad www.majlismedia.my sebelum menyertai badan kehakiman.

Kini, beliau berkhidmat sebagai penimbang tara dan pengantara.

Beliau juga merupakan Naib Pengerusi Forum Hakim-Hakim Persatuan Peguam Antarabangsa (International Bar Association), ahli Kumpulan Pemandu Forum

Antarabangsa Tetap Mahkamah Komersial (Standing International Forum of Commercial Courts), serta hakim di Mahkamah Antarabangsa Qatar dan Pusat Penyelesaian Pertikaian Qatar.

Tambah kenyataan itu, komitmen Nallini sepanjang kerjaya terhadap kebebasan badan kehakiman, kedaulatan undang-undang dan akses kepada keadilan menjadikan beliau individu yang paling sesuai untuk memimpin majlis.

“Pelantikan ini dibuat pada waktu yang amat penting ketika industri media berdepan pelbagai cabaran besar, termasuk tekanan ekonomi, perubahan teknologi, kecerdasan buatan (AI), maklumat palsu dan mengelirukan, ancaman terhadap wartawan, serta keperluan untuk membina semula kepercayaan awam terhadap media.

“MMM yakin bahawa kepimpinan Nallini akan membantu memacu majlis ke arah fasa yang lebih matang, bebas dan berwibawa, berteraskan tiga asas utama iaitu standard, etika dan kebebasan,” ulasnya.

Artikel Disyorkan

Scroll to Top