Montreal: Juara Wimbledon 2022, Elena Rybakina terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pemain Ukraine, Dayana Yastremska 5-7, 6-2, 7-5 untuk menempah tempat ke suku akhir Terbuka Kanada di Montreal, awal pagi tadi.
Elena dari Kazakhstan yang juga juara di Strasbourg pada Mei lalu, trofi pertamanya selepas lebih setahun, mempamerkan kebangkitan mantap walaupun bergelut dengan sembilan double fault sepanjang perlawanan.
Dayana yang sebelum ini menewaskan pilihan kelapan dari Amerika Syarikat (AS), Emma Navarro dalam dua set langsung, bermula garang apabila berjaya bangkit selepas ketinggalan awal dan memanfaatkan masalah servis Elena untuk mencuri set pertama, termasuk memenangi satu permainan ketika ketinggalan 0-40.
Namun, pilihan kesembilan kejohanan itu kembali garang pada set kedua dengan dua kali mematahkan servis lawan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Walaupun satu lagi double fault menjejaskan rentaknya di set ketiga, Elena tetap tenang mematahkan servis Dayana buat kali kedua untuk mendahului 6-5 sebelum menamatkan perlawanan pada mata akhir keempat menerusi voli kilas tinggi yang cukup kemas.
Elena akan berdepan seorang lagi wakil Ukraine, Marta Kostyuk yang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan McCartney Kessler dari AS 5-7, 6-3, 6-3.
Marta sebelum ini mara ke suku akhir di Qatar dan Madrid, namun tiba di Montreal tanpa sebarang kemenangan sejak pusingan keempat di Rom.
“Saya tak menang sebarang perlawanan selama tiga bulan sebelum kejohanan ini. Jadi keyakinan memang agak rendah,” akuinya.
“Saya berterima kasih kepada pasukan saya kerana terus percaya dan berada bersama saya sepanjang waktu sukar.”
Sementara itu, pemain remaja Kanada, Victoria Mboko mencipta kejutan terbesar dalam kariernya apabila menewaskan pilihan utama dan juara Grand Slam dua kali, Coco Gauff 6-1, 6-4 untuk mara ke suku akhir.
Aksi luar biasa Victoria hanya mengambil masa 62 minit untuk ‘menyingkirkan’ bintang Amerika Syarikat itu sekali gus menghadiahkan kemenangan paling bermakna dalam kerjayanya setakat ini.
“Ia sesuatu yang luar biasa,” kata Victoria dalam bahasa Perancis ketika ditemubual di gelanggang.
“Saya sangat gembira dapat menewaskan juara sehebat ini.”
© New Straits Times Press (M) Bhd