Bekas jurujual kereta dipenjara 12 bulan, simpan kerambit

Bekas jurujual kereta dipenjara 12 bulan, simpan kerambit

surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bekas jurujual kereta dipenjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan senjata berbahaya jenis kerambit di tempat awam, Disember tahun lalu.

Tertuduh, Faizal Mohd Kamaruzzaman, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 2 Disember 2024.

Mengikut pertuduhan, bapa empat anak itu didakwa memiliki sebilah pisau berbentuk kerambit sepanjang 15 sentimeter yang digunakan bertujuan menyebabkan kecederaan.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan Telawi 1, Bangsar di sini pada jam 11.45 pagi, 2 Disember 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, senjata itu ditemui dalam milikan tertuduh dan berada dalam keadaan terbuka ketika berada di tempat awam.

Peguam Tamara Anthony yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya menyesali perbuatan itu dan sudah insaf.

“Anak guam mempunyai empat anak yang masih bersekolah berusia antara 10 hingga 17 tahun serta penanggung tunggal keluarga, sebelum ditangkap, dia bekerja sebagai jurujual kereta dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

“Kami mohon hukuman penjara minimum dan satu sebatan sekiranya perlu serta hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkap,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur memohon hukuman berbentuk pengajaran berikutan kesalahan membabitkan senjata berbahaya di tempat awam boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada orang ramai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top