am@hmetro.com.my
Melaka: Bekas juruwang sebuah syarikat jualan, servis dan alat ganti kenderaan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas 12 tuduhan pecah amanah syarikat bernilai keseluruhan RM9,038.4 tahun lalu.
Tertuduh, Norazlin Abu Bakar, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua pertuduhan dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman dan Rohatul Akmar Abdullah di Mahkamah Sesyen 2 dan 3.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-12, Norazlin sebagai juruwang dan diamanahkan dengan wang hasil perkhidmatan baik pulih dan servis kereta pelanggan milik syarikat didapati melakukan pecah amanah terhadap harta berjumlah keseluruhan RM9,038.4 milik majikannya, syarikat Tahap Puncak Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat di Jalan PPBK, Pusat Perniagaan Bukit Katil, di sini, membabitkan nilai wang berbeza dan pada tarikh berasingan antara 1 hingga 13 September 2023.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain dan Nur Syazwanie Marizan manakala tertuduh diwakili peguam Suhaimi Zakariya.
Berikutan tertuduh tidak mengaku bersalah, pendakwaan menawarkan jaminan RM45,000 bagi semua 12 pertuduhan berserta syarat melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.
Peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh sudah diberhentikan kerja dan baru melahirkan anak keempat yang kini berusia empat bulan serta menyusu badan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin berserta syarat seperti dipohon pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 6 November depan bagi serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd