Bekas kakitangan Wildlife Reserves didakwa atas 107 tuduhan rasuah – Utusan Digital

Bekas kakitangan Wildlife Reserves didakwa atas 107 tuduhan rasuah – Utusan Digital

SINGAPURA: Seorang bekas kakitangan Wildlife Reserves Singapore (WRS) didakwa di mahkamah hari ini atas 107 tuduhan rasuah melibatkan lebih S$2.4 juta.

Chong Peng Wee Barry, yang juga dikenali sebagai Danial Chong, dipercayai menerima rasuah daripada beberapa individu sepanjang tempoh 11 tahun, dari 2005 hingga 2016.

Ini sebagai pertukaran untuk ‘memajukan kepentingan perniagaan beberapa syarikat bersama WRS’, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan.

Tertuduh, 54, juga dituduh menggunakan sekitar S$15,900 daripada wang rasuah yang diterima untuk membeli jam berjenama Rolex pada 2013. Dia berdepan satu tuduhan di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Serius Lain (Rampasan Faedah) atas kesalahan yang didakwa itu.

Berita Mediacorp melaporkan, bekas rakan kerjanya di WRS, Chin Fong Yi turut didakwa atas tuduhan berkaitan dengan jenayahnya itu.

Fong Yi, 44, dituduh menerima lebih S$50,000 sepanjang lima tahun dan sebuah dompet berjenama Chanel daripada dua lelaki yang ada kaitan dengan syarikat binaan Shin Yong Construction.

Dia didakwa menerima rasuah itu kerana tidak melaporkan bahawa syarikat binaan tersebut memberi rasuah kepada Danial Chong dan ‘memberi kelonggaran dalam penyeliaan kerja’ yang dilakukan oleh syarikat itu, menurut CPIB.

Dia berdepan 16 tuduhan lagi kerana menggunakan lebih daripada S$33,000 wang yang diterima daripada kedua-dua individu itu untuk membeli beg dan kasut berjenama serta barang kemas.

Mereka yang dituduh memberikan wang rasuah itu – iaitu 10 lelaki berusia 36 hingga 66 tahun – turut didakwa.

Mereka termasuk tiga bekas kakitangan Shin Yong Construction – seorang pengarah, mandur dan pengurus projek.

Bekas pengarah, Toh Say Yong juga didakwa atas 89 tuduhan rasuah kerana memberi rasuah kepada Danial Chong antara 2005 dengan 2016 dan Fong Yi antara 2010 dengan 2015.

Too Say Kiong, mandur berkenaan dan Toh Yong Soon, pengurus projek, masing-masing dikenakan 114 dan 59 tuduhan.

Kebanyakan daripada tuduhan mereka berkaitan dengan konspirasi dipercayai membabitkan Say Yong dan beberapa individu yang lain untuk memberi rasuah kepada Danial Chong supaya menonjolkan kepentingan beberapa syarikat dengan WRS.

Syarikat-syarikat yang dinamakan adalah Shin Yong Construction, Katana Engineering, Thiam Lee Tradings Construction, Geoscapes and KKS Engineering, Hong Power Engineering, Ultron Construction dan KK Iron Engineering.

Para pemilik dan pengarah syarikat-syarikat berkenaan juga didakwa atas peranan mereka dalam memberi rasuah kepada Danial Chong.

Mereka adalah:

– Lim Thiam Poh, bekas pemilik Thiam Lee Tradings Construction;
– Chong Chee Wai, bekas pemilik Katana Engineering;
– Koh Kian Hee, bekas pengarah Geoscapes;
– Tan Chuan Hong, bekas pengarah Hong Power Engineering;
– Wong Eng Kuan, bekas pengarah Ultron Construction;
– To Chai Kiat, bekas pengarah KK Iron Engineering;
– Chong Yun Chia, bekas pengurus projek KK Iron Engineering.

“Syarikat-syarikat dinasihatkan supaya melaksanakan prosedur menyeluruh dalam bidang-bidang seperti pemerolehan dan audit dalaman bagi mengelak menjadi mangsa perbuatan rasuah oleh pekerja mereka,” menurut CPIB.

Mereka yang didapati bersalah atas kesalahan rasuah boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan di bawah Akta Rasuah, Penyeludupan Dadah dan Jenayah Serius Lain (Rampasan Faedah), seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000 atau kedua-duanya sekali.

Scroll to Top