saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bermula dengan modal perniagaan hanya RM30, kini mempunyai aset perniagaan kira-kira RM40 juta.
Demikian kesungguhan bekas kapten skuad hoki remaja negara, Muhammad Haziq Samsul yang menyaksikan usahanya berniaga sejak belasan tahun membuahkan hasil apabila kini boleh berbangga memiliki Bottol Garage Empire, iaitu perniagaan menawarkan khidmat membaiki dan menjual alat ganti serta aksesori motosikal.
Cerita Haziq, perniagaan pertama diceburinya adalah menjual makanan ringan ketika menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dengan modal sebanyak RM30 dan setiap keuntungan disimpan untuk membuka perniagaan lebih besar ketika pada masa sama turut memberi fokus kepada sukan hoki.
Bermula daripada itu, Haziq mencuba pelbagai jenis perniagaan, antaranya membuka kedai gunting rambut, menjual pakaian terpakai serta topi keledar, namun segala-galanya tidak menjadi sebelum dia nekad mencuba kali terakhir dengan membuka Bottol Garage Empire semasa negara digemparkan dengan virus pandemik Covid-19 pada tahun 2020.
Sejak itu, Haziq yang pernah beraksi di kejohanan berprestij termasuk Piala Dunia Remaja 2013 serta Sukan Komanwel 2014 tidak menoleh ke belakang lagi apabila kini sudah mempunyai sembilan cawangan kedai Bottol Garage Empire di seluruh negara.
“Daripada hanya seorang kakitangan pada hari pertama, sekarang saya perlu menggaji 120 kakitangan untuk sembilan cawangan ini. Kos yang perlu saya tanggung untuk sebulan sahaja iaitu termasuklah gaji pekerja dan sewa premis dianggarkan antara RM600,000 sehingga RM700,000.
“Secara purata jualan setiap bulan dianggarkan RM3 juta. Tahun lalu kami berjaya buat jualan kira-kira RM30 juta. Jadi kalau ada orang tawarkan RM40 juta untuk ambil alih perniagaan saya ini, saya akan lepaskan. RM40 juta itulah nilai perniagaan saya sekarang,” katanya ketika ditemui.
Haziq berkata, dirinya sendiri tidak pernah percaya dapat mencipta kejayaan dalam dunia perniagaan ketika usianya baharu mencecah 32 tahun ketika ini.
“Mungkin Allah bagi peluang kepada saya untuk buka peluang pekerjaan kepada orang lain. Kalau saya nak jadi seorang pemain hoki yang berjaya, saya kena lakukannya. Begitu juga dalam perniagaan, kalau saya tak berjaya sebagai seorang ahli perniagaan, saya kena salahkan diri sendiri,” katanya.
Untuk perancangan masa depan, Haziq berkata, dia tidak mahu tergesa-gesa mengembangkan perniagaannya dengan menambah beberapa cawangan lagi.
“Saya nak kekalkan saja cawangan yang ada tetapi perlu tingkatkan servis kepada lebih baik. Kalau kita berikan perkhidmatan terbaik pasti ramai yang terus menyokong perniagaan kita,” katanya.
Haziq berkata, dia tetap menghargai pencapaian dirinya dalam sukan hoki, terutamanya sekali sepanjang 10 tahun mewakili skuad kebangsaan.
Namun katanya, sebagai atlet, mereka juga perlu mempunyai perancangan rapi apakah yang akan dilakukan selepas tidak terbabit atau tidak lagi diperlukan dalam dunia sukan.
“Saya nasihatkan kepada atlet-atlet carilah apakah kelebihan atau minat anda. Jika ada keperluan untuk belajar atau sertai kursus tertentu, ambillah.
“Sekurang-kuranngya apabila kita tidak lagi diperlukan, kita sudah ada sesuatu apa yang perlu dilakukan untuk kehidupan seterusnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




