Bekas ketua CDC AS percaya virus Covid ‘terlepas’ dari makmal Wuhan

Anggota keselamatan mengawal di pintu masuk Institut Virologi Wuhan ketika lawatan pasukan WHO pada 3 Feb lalu. (Gambar AP)

ATLANTA: Bekas pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) percaya koronavirus yang menyebabkan Covid-19 mungkin terlepas dari sebuah makmal di Wuhan, China, berbanding satu teori ditolak ramai pakar epidemiologi global yang menyumbang kepada ketegangan antara China dan negara Barat itu.

“Saya masih fikir kemungkinan besar asal-usul patogen di Wuhan ini berasal dari sebuah makmal, anda tahu, terlepas,” kata Robert Redfield, yang pernah mengetuai CDC di bawah kerajaan pimpinan Donald Trump, dalam wawancara dengan CNN.

“Ia bukan luar biasa untuk patogen pernafasan yang dikaji dalam makmal menjangkiti pekerja makmal.”

Redfield berkata, beliau fikir tidak mungkin penyakit itu berasal daripada kelawar – seperti ramai pakar percayai – begitu cepat “menjadi sejenis daripada virus paling mudah berjangkit yang kita ketahui dalam sejarah untuk jangkitan manusia ke manusia”, tetapi beliau tidak katakan pelepasan virus itu dibuat secara sengaja.

Pendapat Redfield sejajar pegawai pentadbiran Trump seperti bekas setiausaha negara, Mike Pompeo, yang baru-baru ini berkata, ada “sejumlah bukti” menunjukkan virus itu datang dari sebuah makmal, bagaimanapun beliau tidak menunjukkan bukti itu.

Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit AS, Anthony Fauci, yang berkhidmat di bawah pentadbiran Trump dan kini di bawah kerajaan pimpinan Presiden Joe Biden, berkata kebanyakan pegawai kesihatan awam tidak bersetuju dengan teori makmal China itu, ketika ditanya mengenai komen Redfield dalam taklimat Covid-19 White House.

Fauci berkata, kebanyakannya percaya virus itu “berkeliaran” selama sebulan atau lebih sebelum dikenal pasti secara klinikal di China, dan ketika itu ia menyesuaikan diri kepada penularan lebih efisien antara manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia dijangka mengeluarkan laporan berhubung siasatan ke atas punca Covid-19 tidak lama lagi.
Ketua pasukan yang diterajui WHO bulan lalu berkata, kelawar kekal menjadi sumber berkemungkinan dan menolak secara efektif virus itu terlepas dari sebuah makmal.