Washington: Seorang bekas ketua perisikan tentera Venezuela mengaku bersalah di mahkamah persekutuan Manhattan atas konspirasi keganasan dadah, penyeludupan dadah dan tuduhan senjata yang meningkatkan lagi tekanan Amerika Syarikat (AS) terhadap kerajaan Presiden Nicolas Maduro.
Hugo Armando Carvajal Barrios dikenali ‘El Pollo’ atau ‘The Chicken’ adalah pengarah perisikan tentera Venezuela di bawah Presiden Hugo Chavez dan Maduro.
Rabu lalu, beberapa hari sebelum perbicaraannya dimulakan, Carvajal mengaku bersalah atas empat pertuduhan persekutuan, berkaitan dengan tuduhan bahawa dia membantu mengetuai kumpulan pengedaran dadah dalam Kerajaan Venezuela.
“Carvajal pernah menjadi salah seorang lelaki paling berkuasa di Venezuela.
“Selama bertahun-tahun, dia dan pegawai lain … menggunakan kokain sebagai senjata yang membanjiri New York dan bandar AS yang lain dengan racun,” kata peguam AS Jay Clayton.
Carvajal berpaling tadah terhadap Maduro pada 2019 dan menyokong rampasan kuasa yang gagal pada tahun itu yang diketuai oleh ketua pembangkang Juan Guaido.
Maduro kekal berkuasa tetapi pentadbiran Presiden Donald Trump pada masa itu mengiktiraf Guaido sebagai pemimpin yang sah di negara itu.
Walaupun menentang Maduro, Carvajal sudah disiasat oleh kerajaan AS pada 2020.
Jabatan Kehakiman mengemukakan pertuduhan terhadapnya dan pemimpin tertinggi Venezuela yang lain termasuk Maduro sendiri, dengan menuduh mereka melakukan jenayah keganasan dadah dan menjalankan Cartel of the Suns.
Dia akhirnya diekstradisi ke AS dari Sepanyol pada 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd