Selepas lapan tahun menyertai BERSATU, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik menzahirkan dakwaan mengenai “wajah sebenar” pentadbiran parti itu yang disifatkannya sebagai berunsur ‘ala mafia’.
Sifatkan pentadbiran ‘ala mafia’
Menerusi hantaran yang dikongsi di media sosial, beliau menyatakan pentadbiran parti tersebut sentiasa pilih bulu dan tidak mencerminkan ketelusan seperti diharapkan ahli.
“Pentadbiran parti dilihat semakin cenderung kepada pendekatan `ala mafia’, sentiasa pilih bulu dan tidak lagi mencerminkan ketelusan yang diharapkan ahli di peringkat akar umbi,” katanya.

Dakwa pentadbiran ‘ala mafia’ beri kesan negatif
Memetik laporan daripada Harian Mentro, Rahim, yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, menyatakan keadaan itu secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada keyakinan ahli serta penyokong terhadap hala tuju parti berkenaan.
Beliau turut menyifatkan dalam hantaran di media sosial tersebut bahawa masa depan parti yang sebelum ini dilihat ‘putih’ dan penuh harapan, kini bertukar ‘kelabu’ berikutan pelbagai isu dalaman yang didakwa tidak ditangani secara tuntas.
“Ahli mahukan kepemimpinan yang telus dan adil, bukannya budaya yang boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan kepimpinan parti seharusnya kembali kepada asas perjuangan dengan memperkukuh nilai integriti, ketelusan dan keadilan dalam setiap keputusan.
Rahim yang juga bekas Ketua BERSATU Alor Gajah sebelum ini mengumumkan peletakan semua jawatan yang disandang dalam parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Artikel lain: BERSATU masih kukuh! Muhyiddin tegas akan halang Hamzah kembali sertai PN
Turut berbuat demikian, semua kepemimpinan BERSATU di lima daripada enam bahagian di Melaka, termasuk pemimpin cawangan serta sayap parti di bahagian berkenaan.
Sumber: X RahimRTC, Harian Metro (Amir Mamat)




