Washington: Dick Cheney, yang pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) semasa serangan 11 September 2001 (9-11), meninggal dunia pada usia 84 tahun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik media AS dan kenyataan keluarganya.
Menurut kenyataan itu, Cheney meninggal dunia pada Isnin malam akibat komplikasi pneumonia serta penyakit jantung dan vaskular.
Tokoh Republikan yang berkhidmat di bawah Presiden George W Bush itu dianggap sebagai antara naib presiden paling berpengaruh dalam sejarah AS.
Cheney, yang dikenali dengan sikap tegas dan serius, dikreditkan oleh ramai pihak sebagai individu penting di sebalik pembentukan dasar bagi pencerobohan AS ke atas Iraq pada 2003.
Beliau adalah tokoh berpengalaman di Washington jauh sebelum dilantik sebagai naib presiden, pernah berkhidmat sebagai Ketua Staf Rumah Putih di bawah Presiden Gerald Ford, kemudian sebagai Ahli Kongres dari Wyoming, serta sebagai Setiausaha Pertahanan di bawah Presiden George H W Bush.
“Dick Cheney ialah seorang lelaki hebat dan baik hati yang mengajar anak serta cucunya untuk mencintai negara ini, dan menjalani kehidupan dengan keberanian, kehormatan, kasih sayang, kebaikan dan minat terhadap sukan memancing,” menurut kenyataan keluarganya.
Cheney sebelum ini berbeza pendirian dengan Parti Republikan apabila mengkritik Presiden Donald Trump pada 2022, menyifatkannya sebagai “ancaman terhadap republik kita.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




