lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar yang berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa serta pecah amanah tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, pagi ini.
Mohd Nizam, 60, yang mengenakan baju kemeja putih, blazer kelabu dan bertongkat tiba pada 8.20 pagi.
Beliau diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasuki lobi mahkamah sebelum dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah.
Pada Rabu lalu, SPRM menerusi kenyataan memaklumkan Mohd Nizam akan didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan siasatan salah guna kuasa dan siasatan membabitkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
Beliau juga akan berdepan pertuduhan pecah amanah mengikut Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan ke atas bekas PAT itu akan didengar di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




