farid_noh@bh.com.my
JOHOR BAHRU: Seorang bekas pegawai tentera didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu seorang lelaki bagi mendapatkan kontrak penyelenggaraan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), dengan meminta imbuhan bernilai RM8,500, lima tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Suhaizal Mat Sulaiman, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mohd Suhaizal didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 37 tahun, kononnya boleh membantu mendapatkan kerja senggaraan sivil, mekanikal dan elektrikal fasaliti infra latihan membabitkan Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) Desa dan Infra Mekanikal PULADA dan kerja senggaraan sivil, mekanikal dan elektrikal Lapang PULADA.
Tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM8,500 secara perbankan dalam talian ke akaun miliknya, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang berkenaan sekiranya tidak diperdayakan.
Mohd Suhaizal didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah bank tempatan di Kampung Masjid Lama, di Kluang, antara 5 Februari hingga 12 Februari 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor,Nor Syarina Raizan manakala tertuduh diwakili Abdul Rashid Tasin.
Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Ogos depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




