Bila badan sado memang terus dapat lesen untuk pukul orang sesuka hati ke? Itulah apa yang dialami mangsa yang dikenali sebagai Afiq Zakwan Johari, 27, yang mendedahkan telah menyembunyikan penderaan yang dialaminya ketika bekerja sebagai pembantu peribadi dan pemandu kepada seorang selebriti fitness terkenal.
Katanya, dia sudah tidak tahan lagi selepas insiden yang berlaku pada 16 Jun lalu. Menurut Afiq, dia dipukul teruk dengan kabel mesin larian oleh majikannya sehingga badannya lebam. Katanya, kejadian itu menjadi kemuncak kepada segala penderaan yang berlaku sebelum ini.
Mangsa dipukul dengan kabel, tangan kosong, apa saja di sekeliling oleh selebriti fitness…
Jurulatih kecergasan terbabit bukan calang-calang orang. Dia terkenal dalam kalangan selebriti dan di media sosial dengan tubuh sasa dan gaya hidup sihat. Tapi sebaliknya yang berlaku di sebalik kamera.
Dia mudah naik angin dan bila dia marah, dia akan pukul. Dia guna apa saja yang ada di sekeliling, kabel, tangan kosong.- Jelas Afiq.
Pada mulanya, Afiq berkata majikannya melayan baik dan sering memberi bonus. Tapi semuanya berubah apabila perniagaan mula perlahan. Ketika itulah sifat panas baran majikan mula terserlah dan Afiq menjadi mangsa.
Afiq mendakwa dia sudah beberapa kali dipukul, bukan saja di pejabat, malah di rumah majikannya, bahkan pernah berlaku di hadapan pekerja lain.
Semua yang kerja rapat dengannya pasti pernah kena. Cuma tukang cuci saja yang terselamat, mungkin sebab jarang berinteraksi dengannya.- Katanya.
Paling membimbangkan, Afiq mendakwa lelaki itu pernah mengugut untuk mencari keluarga sesiapa yang cuba membuat laporan polis. Katanya, seorang rakan pernah cuba buat laporan, tapi menarik semula kerana takut.
Lima bekas pekerja tampil buat laporan polis…
Afiq akhirnya membuat keputusan berhenti kerja dan membuat dua laporan polis pada 17 Jun dan 2 Julai. Selepas itu, empat lagi bekas pekerja tampil membuat laporan dan aduan serupa.
Kesemua laporan ini membuka ruang untuk siasatan lebih menyeluruh terhadap majikan tersebut.
Apabila dihubungi pihak media, jurulatih berusia 37 tahun itu menafikan semua tuduhan dan menyifatkannya sebagai “pembohongan”. Dia turut memaklumkan telah membuat laporan polis sendiri bagi menafikan segala dakwaan terhadapnya.
Pssttt! Dalam dunia pekerjaan hari ini, kita selalu dengar tentang bos toksik. Tapi bila sampai tahap penderaan fizikal, itu dah melampau. Kalau korang rasa dianiaya di tempat kerja, jangan diam. Cari saluran yang betul, simpan bukti dan segera buat laporan. Keberanian Afiq ini boleh jadi pembuka jalan untuk orang lain yang senasib tampil bersuara. Jangan biar takut menghalang keadilan.
Kredit: NSTP
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!