Bekas pekerja restoran mengaku tak salah sokong, jadi ahli Daesh

Bekas pekerja restoran mengaku tak salah sokong, jadi ahli Daesh

Kuala Lumpur: Seorang bekas pekerja restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan berkaitan dengan kumpulan Daesh, iaitu memberi sokongan, memiliki artikel dan video serta mengaku menjadi ahli kumpulan pengganas itu, tahun lepas.

Muhammad Muzzammil Mohd Mohlis, 36, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika sebutan kes itu hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff memaklumkan kepada mahkamah bahawa hari ini ialah sebutan kali pertama kes berkenaan di Mahkamah Tinggi.

“Sebelum ini, tertuduh diwakili peguam semasa pertuduhan terhadapnya dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini, namun hari ini peguam tertuduh tidak hadir ke mahkamah. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya satu tarikh sebutan kes ditetapkan untuk kehadiran peguam bagi serahan dokumen,” katanya.

Hakim Muhammad Jamil kemudian menetapkan 30 April ini untuk sebutan kes.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Muzzammil didakwa memberi sokongan kepada Daesh dengan menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Ibn Nuhas dan Telegram atas nama Wilayah Maliziyah (bahasa Arab), di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada 4.50 petang, 31 Mei 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki artikel dan video berkaitan Daesh di lokasi, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa mengaku keahlian kumpulan Daesh dengan cara melakukan upacara bai’ah dengan pemimpin Daesh, Abu Hafs AL Hashimi Al-Qurashi sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di Jalan Cheras di sini pada 10.08 pagi, Mei tahun lepas, mengikut Seksyen 130J (2) (d) Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top