Kuala Lumpur: Bekas Ketua Perubatan Sukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ooi Yuhang, kini tampil membawa sentuhan peringkat elit kepada orang ramai menerusi pembukaan rasmi pusat rehabilitasi dan pemulihan sukan berasaskan bukti, M Lab Physio, yang beroperasi di Bandar Sri Permaisuri, Cheras bermula hari ini.
Berteraskan slogan Rebuild Your Confidence, M Lab Physio tampil dengan pendekatan holistik dalam pemulihan kecederaan, bukan sekadar kembali pulih, tetapi juga untuk membina semula kekuatan, keyakinan dan keupayaan fizikal seseorang.
“Sebagai bekas atlet, saya faham perasaan apabila perlu kembali daripada kecederaan dan betapa pentingnya keyakinan dalam proses itu. Itulah asas kepada M Lab,” kata Ooi yang juga bekas pemain beregu wanita negara yang pernah mewakili Malaysia di Piala Uber, All England dan Kejohanan Dunia.
Berkelulusan Sarjana dalam Sains Senaman Klinikal & Pemulihan dari Victoria University, Australia dan Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Sukan dari Universiti Malaya, Yuhang menggabungkan kepakaran akademik dan pengalaman praktikal peringkat tertinggi dalam bidang perubatan sukan.
Bersama pasukan ahli fisioterapi dan pakar sukan terlatih dari Australia, M Lab Physio menyasarkan untuk menjadi pusat rujukan utama dalam pemulihan kecederaan sukan dan rehabilitasi prestasi khususnya di kawasan Cheras dan sekitarnya.
Antara kepakaran yang ditawarkan: Rehabilitasi kecederaan sukan, pemulihan ortopedik, penjagaan pasca pembedahan, pelan fisioterapi peribadi.
Dengan ruang rawatan moden yang mesra pelanggan, M Lab Physio terbuka kepada semua peringkat masyarakat yang mencari rawatan profesional dipercayai dalam suasana yang selesa dan inklusif.
© New Straits Times Press (M) Bhd