Bekas pemain bola sepak asah bakat 200 anak muda B40

Bekas pemain bola sepak asah bakat 200 anak muda B40

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Pengalaman lebih 10 tahun sebagai pemain bola sepak tidak disia-siakan Shaik Awish Alkirani.

Buktinya, Shaik Awish, 33, mengambil inisiatif mengasah bakat anak muda di peringkat umbi dengan menubuhkan Akademi Bola Sepak Wira Muda lapan tahun lalu.

Menurut Shaik Awish, idea menubuhkan akademi itu tercetus selepas melihat ramai kanak-kanak di kawasan penempatannya termasuk dalam kalangan B40 mempunyai bakat bermain bola sepak namun tiada platform latihan yang sistematik untuk mengembangkan potensi.

“Jadi akademi saya tubuhkan itu memberi peluang kepada mereka (kanak-kanak) untuk belajar bola sepak dalam suasana latihan yang lebih teratur, berdisiplin dan profesional.

“Seramai kira-kira 200 pemain muda yang berdaftar dengan akademi terdiri daripada kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun.

“Buat masa ini, ada 10 hingga 12 jurulatih berpengalaman yang membantu dalam mengendalikan sesi latihan seiring dengan fokus utama akademi iaitu pembangunan pemain di peringkat akar umbi.

“Menariknya, pemain yang menyertai akademi bukan sahaja datang dari kawasan ini (Nibong Tebal) malah turut menarik penyertaan dari luar daerah seperti Alor Setar, Taiping dan Kuala Kangsar,” katanya kepada Harian Metro.

Meskipun tidak mencapai tahap tertinggi sebagai pemain profesional, Shaik Awish berkata, pengalaman dilalui banyak mengajarnya realiti bola sepak dari bawah sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, pengalaman itu yang akan digunakan untuk membantu membimbing pemain muda supaya melangkah lebih jauh daripadanya.

Bagaimanapun, Shaik Awish tidak dapat lari daripada halangan dan antara cabaran terbesar adalah menguruskan akademi supaya kekal konsisten dan relevan sebagai pilihan utama masyarakat.

“Cabaran lain adalah mencari dana untuk menaik taraf fasiliti akademi, termasuk padang daripada yang biasa kepada sintetik, serta membesarkan (kawasan padang) bagi memberi kemudahan latihan yang lebih baik kepada pemain.

“Untuk ke arah itu, saya perlu pelbagai proses untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menjalankan penambahbaikan fasiliti dan menghargai sokongan Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Zulfikri Osman yang banyak memberi sokongan serta membantu dalam memberi kelulusan dana untuk penambahbaikan fasiliti akademi,” katanya.

Sebagai pengasas, kepuasan terbesarnya adalah melihat pemain muda di bawah bimbingannya berkembang daripada segi kemahiran, disiplin dan keyakinan diri.

Katanya, beberapa pemain berjaya melangkah ke akademi bola sepak yang lebih besar sekali gus menjadi satu kebanggaan buatnya.

“Hala tuju akademi tahun ini adalah untuk terus memperkuatkan pembangunan pemain muda dan memberi lebih banyak pendedahan pertandingan di peringkat tempatan juga antarabangsa.

“Sasaran utama kita adalah untuk membantu melahirkan pemain yang berpotensi menyertai Akademi Mokhtar Dahari, Akademi Negara serta akademi bola sepak terkemuka di negara ini.

“Selain itu, pihak akademi juga berhasrat mencari peluang menghantar pemain muda ke luar negara bagi menimba pengalaman dan meningkatkan tahap permainan mereka.

“Kami juga merancang menyertai beberapa kejohanan antarabangsa seperti di Singapura, Thailand dan negara Asia lain bagi memberi pengalaman pertandingan yang lebih luas kepada pemain,” katanya.

Menurutnya, perancangan masa depannya adalah untuk terus membangunkan akademi sebagai salah satu pusat pembangunan bola sepak akar umbi yang kuat di Pulau Pinang dan negara.

Dia juga berazam melahirkan pemain berkualiti juga menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara.

Ketika ini, kedudukan akademi yang strategik di Jawi, dekat sini memberi kelebihan kerana berada berhampiran sempadan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Perak (Parit Buntar) dan Kedah (Bandar Baharu).

Katanya, ia memudahkan akses kepada ibu bapa dan pemain dari pelbagai kawasan untuk menyertai latihan di akademi.

“Sambutan agak baik jadi saya memang ada perancangan untuk membuka beberapa cawangan akademi di kawasan lain.

“Jika ada rezeki, saya berhasrat menambah baik fasiliti latihan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemain mendapat persekitaran latihan terbaik,” katanya yang juga anak ketiga daripada lima beradik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top