Bekas pemain EPL, ditangkap memiliki kokain

Bekas pemain EPL, ditangkap memiliki kokain

Dublin: Bekas pemain bola sepak Republik Ireland, Anthony Stokes, ditangkap bersama kokain bernilai hampir €4,000 (RM18,789) di dalam keretanya di Dublin, menurut mahkamah negara itu.

Bekas pemain Celtic dan Sunderland turut memandu kereta mencapai kelajuan 160 km/j dan hampir bertembung dengan pemandu lain pada tengah malam pada 6 Januari 2023.

Hakim Grainne Malone menangguhkan hukuman terhadap Stokes, 36, untuk menunggu laporan rawatan bagi mengesahkan bahawa dia tidak mengambil dadah.

Dia mengaku bersalah di Mahkamah Daerah Dublin atas kesalahan memiliki kokain secara haram disembunyikan dalam stoking dan memiliki dadah itu untuk dijual atau dibekalkan.

Hakim dimaklumkan bahawa masalah ketagihan alkoholnya berkembang menjadi ketagihan kokain selepas karier bola sepaknya berakhir.

Stokes juga mengaku memandu dalam keadaan mabuk dan empat pertuduhan memandu secara berbahaya.

Bekas bintang Liga Perdana itu juga mengaku bersalah kerana tidak menunjukkan lesen memandu dan tidak memiliki insurans kenderaan.

Dalam keterangan, Garda Radoslaw Konczewski memaklumkan melihat bekas pemain bola sepak itu memandu laju di Walkinstown Avenue sekitar 12.20 pagi.

Pegawai itu mengaktifkan lampu kereta peronda, tetapi Stokes gagal berhenti dan terus menuju ke persimpangan Long Mile Road, “yang dimasukinya dengan laju, melanggar lampu merah.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top