Bekas pemenang perak Sukan Komanwel 1998 derita saraf

Bekas  pemenang perak Sukan Komanwel 1998 derita saraf

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Nasib bekas atlet jalan kaki, G Saravanan yang memenangi pingat emas buat negara di Sukan Komanwel 1998 mendapat perhatian Yayasan Pemerkasaan Pendidikan dan Kemahiran.

Saravanan,56, menghidap ‘Motor Neuron Disease’ (MND) iaitu penyakit yang menjejaskan sel saraf motor di otak dan saraf tunjang sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi yayasan itu, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata pihaknya berusaha mengumpul sejumlah dana bagi membantu meringan beban keluarga terutamanya dari segi kos rawatan serta ubat-ubatan.

“Kita mengikuti perkembangan Saravanan sejak bekas atlet itu disahkan menghidap penyakit dan cuba sedaya bagi membantu meringankan beban keluarganya.

 “Sebelum ini keadaan Saravanan masih baik tetapi sejak pertemuan pada April tahun lalu keadaannya semakin merosot hingga ke hari ini apabila hanya terlantar di atas katil serta tidak boleh bercakap.

 “Dia hanya boleh makan melalui tiub dan bergantung kepada bantuan alat pernafasan sepanjang masa. Jantungnya juga pernah terhenti selama dua minit sebelum dapat dipulihkan semula,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jelasnya, pihak yayasan menyerahkan sumbangan RM100,000 hasil kutipan daripada individu perseorangan dan orang ramai sejak tabung itu dilancarkan tahun lalu kepada keluarga Saravanan di kediaman bekas atlet itu di Bukit Mertajam pada Rabu lalu.

 “Kita berharap ia dapat digunakan untuk urusan rawatannya yang sudah tentu melibatkan perbelanjaan tinggi,” katanya.

Sebelum ini, nasib menimpa Saravanan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghulurkan bantuan termasuk mendoakan kesembuhan bekas atlet terbabit.

Bekas atlet itu mengharumkan nama

negara pada temasya Sukan Komanwel 1998 apabila menuai pingat emas dalam acara 50 kilometer (km) lumba jalan kaki sehingga tercipta sejarah yang tidak boleh dilupakan hingga hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top