JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menahan bekas pendakwa raya kanan negara itu selepas merampas wang tunai berjuta-juta dolar Amerika Syarikat (AS) dan lebih 70 kilogram (kg) jongkong emas daripada kediaman serta beberapa hartanah miliknya.
Penolong Peguam Negara untuk Pengawasan, Rudi Margono, berkata Febrie Adriansyah didakwa melakukan pengubahan wang haram ketika berkhidmat sebagai Ketua Pendakwa Raya Jenayah Khas di Jabatan Peguam Negara.
Febrie meletakkan jawatan pada 11 Julai lalu selepas memegang jawatan itu selama lebih empat tahun, susulan serbuan ke atas beberapa hartanah termasuk kediamannya di luar Jakarta.
Penyiasat merampas wang tunai berjumlah AS$19 juta (RM77.7 juta) dalam pelbagai mata wang serta 74 kg jongkong emas yang dianggarkan bernilai jutaan dolar.
Selepas berjam-jam disoal siasat kelmarin, Febrie menafikan sebarang salah laku dan mendakwa dirinya menjadi mangsa ‘jenayah’, menurut kenyataannya kepada stesen televisyen tempatan.
Peguamnya, Febri Diansyah, berkata anak guamnya berharap proses perundangan dapat dijalankan secara adil.
Siasatan terhadap Febrie dimulakan oleh polis sebelum diserahkan kepada unit penyiasat antirasuah di pejabat tempat beliau pernah berkhidmat.
Indonesia, ekonomi terbesar di Asia Tenggara, sejak sekian lama berdepan masalah rasuah dengan puluhan pegawai awam ditahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.- AFP




